53 keluarga di DUN Apas sudah terima rumah Mesra SMJ

Nizam-SMJ.jpg

Nizam (empat kiri) ketika menyampaikan kunci rumah mesra SMJ kepada Ismail.

Kongsi Bersama

TAWAU: 53 keluarga di kawasan Apas sudah memiliki kediaman sendiri atas inisiatif kerajaan negeri menerusi program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) sejak tahun 2022 hingga kini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata semua penerima rumah berkenaan adalah keluarga yang kurang berkemampuan dan tersenarai dalam golongan e-Kasih.

Katanya, sebanyak tujuh buah rumah lagi sedang dalam proses akhir penyiapan dan dijangka akan diserahkan kepada pemohon selewat-lewatnya hujung bulan ini.

“Sejak program ini diwujudkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, ia telah memberi manfaat kepada ramai rakyat di seluruh Sabah terutamanya golongan e-Kasih.

“Ramai golongan ini tidak menyangka dapat memiliki sebuah rumah yang selesa secara percuma disediakan oleh kerajaan negeri,” katanya.

Nizam yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri berkata demikian ketika majlis penyerahan kunci rumah SMJ bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas, di sini, semalam.

Menurutnya, inisiatif di bawah pelan hala tuju SMJ ini adalah hasil kecekapan kerajaan negeri mengurus dan mentadbir Sabah dengan baik sehingga pendapatan negeri semakin meningkat setiap tahun.

“Hasil sokongan seluruh rakyat kepada kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Pakatan Harapan (PH) Plus, hasil negeri yang meningkat itu telah dikembalikan semula kepada rakyat.

“Kita bersyukur kerana mempunyai kerajaan yang sangat prihatin dan ikhlas membantu rakyat keluar dari kepompong kemiskinan tegar,” katanya.

Nizam berkata, kerajaan negeri juga akan menambah bilangan rumah mesra SMJ di setiap DUN menjadi 40 buah bermula tahun hadapan.

“Jika kita lihat, belum pernah lagi kerajaan yang memerintah di Sabah sebelum ini mengeluarkan peruntukan sebesar itu untuk menyediakan rumah percuma kepada rakyat.

“Justeru, saya berharap kerajaan yang ada hari ini perlu dikekalkan supaya lebih banyak lagi bantuan-bantuan diberikan sehingga tiada lagi rakyat tergolong dalam kategori miskin tegar pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, penerima rumah mesra SMJ, Ismail Keling menzahirkan rasa syukur kerana kerajaan negeri membina rumah yang selesa untuk mereka sekeluarga.

Katanya, impian mempunyai rumah sendiri akhirnya tercapai dengan bantuan yang diberikan oleh kerajaan negeri dan wakil rakyat Apas.

“Kalau harapkan pendapatan yang diterima setiap bulan, memang saya rasa masih lama lagi kami sekeluarga untuk memiliki rumah sendiri

“Sebagai ketua keluarga sangat bersyukur kerana sudah mampu tinggal di rumah sendiri bersama isteri dan anak-anak,” katanya.

 

— Hamzah Sanudin/Penerangan Gagasan Rakyat

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top