52 Penerbangan Tambahan AirAsia, RM199, RM249 Dari Semenanjung Ke Sabah, Sarawak

AirAsia-A321XLR-A330neo.jpg
Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: AirAsia Aviation Group Ltd (AAAGL) mengumumkan 52 penerbangan tambahan pada tambang rendah tetap ke enam destinasi di Sabah dan Sarawak dari 17 hingga 30 Januari 2023 sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Syarikat penerbangan tambah rendah itu menawarkan harga tiket RM199 sehala bagi penerbangan dari Kuala Lumpur atau Johor Bahru ke Kuching, Sibu, Bintulu serta Miri.

Manakala, dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu dan Tawau, serta Johor Bahru ke Kota Kinabalu pula pada harga RM249 sehala dengan semua tempat duduk tersedia untuk tempahan mulai 28 Disember (hari ini).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke ketika berucap pada majlis pengumuman tambang rendah tetap berkenaan berkata, AirAsia komited menyokong inisiatif kerajaan untuk menurunkan tambang penerbangan semasa musim perayaan, meskipun terdapat kekangan operasi.

“Walaupun mereka tidak dapat meningkatkan lebih kekerapan penerbangan kerana kekurangan pesawat seperti apa yang dialami oleh semua syarikat penerbangan, kami memuji kerja keras mereka untuk menambah penerbangan tambahan istimewa pada tambang rendah tetap untuk menghubungkan keluarga, terutamanya dari dan ke Sabah dan Sarawak.

“Kadar tambah rendah tetap sempena musim hari raya ini amat penting untuk saya khususnya, kerana Tan Sri Tony Fernandes tahu, ini adalah janji pilihan raya saya kepada orang Sabah dan Sarawak, jika saya menjadi Menteri Pengangkutan semula,” katanya ketika berucap pada Rabu.

Loke menambah kementerian terbuka untuk bersama-sama dengan pemain industri dan menggalakkan syarikat penerbangan lain untuk turut melancarkan inisiatif sama.

“Saya tahu untuk menjadi ini realiti, ia bukan hanya syarikat penerbangan, tetapi setiap pemegang taruh mesti bersama-sama memainkan peranan mereka untuk memastikan inisiatif sebegini boleh dilaksanakan,” ujarnya lagi.

Dalam masa sama, Ahli Parlimen Seremban itu berkata, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) sedia memberikan insentif kepada pengendali syarikat penerbangan, jika mereka mempunyai inisiatif bagi penerbangan tambahan dengan tambang yang sesuai.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AAAGL Bo Lingam, berkata selain 52 penerbangan tambahan pada tambang rendah tetap ke enam destinasi berkenaan, AirAsia juga mengendalikan 274 penerbangan mingguan pada tambang biasa ke destinasi yang sama.

“Di sebalik kos operasi yang semakin meningkat dan kekurangan jumlah pesawat, kami terus berusaha dan komited untuk menyatukan semula rakyat Malaysia sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang akan datang.

“Hari ini, kami berbesar hati kerana dapat mengumumkan penerbangan tambahan lewat malam istimewa pada tambang rendah tetap. Sebanyak 25,020 tempat duduk tambahan ke dan dari destinasi terpilih di Sabah dan Sarawak tersedia untuk tempahan bagi tempoh perayaan akan datang,” katanya. – AWANI

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top