KOTA KINABALU: Sejumlah 50 penerima berjaya memenangi hadiah pada Peraduan Pengetahuan Am anjuran See Hua Daily News dan Morning Post dengan kerjasama daripada Pejabat Konsul Jeneral China di Kota Kinabalu.
Ketua Pengarang See Hua Daily News Toh Chee Kong berkata, pihaknya sangat menghargai sokongan yang diberikan oleh Pejabat Konsul Jeneral China di Kota Kinabalu.
“Pertandingan kali ini berjaya mencatatkan jumlah peserta yang tertinggi.
“Usaha itu sekali gus membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia, khususnya di Sabah untuk memberikan perhatian dan turut serta dalam usaha memperkasakan lagi hubungan persahabatan China-Malaysia,” katanya pada Majlis Penyampaian Hadian Peraduan Pengetahuan Am, di Wisma KTS di sini semalam.
Beliau berkata, kajian terbaharu mendapati tahap kepercayaan rakyat Malaysia terhadap China mencatat paras tertinggi sepanjang tahun lepas dengan hampir 90 peratus rakyat negara ini menzahirkan perasaan positif terhadap China.
“Ini jelas membuktikan bahawa badan bukan kerajaan memainkan peranan penting sebagai jambatan dalam memperkenalkan hubungan persahabatan dan kerjasama diantara Malaysia dan China.
“See Hua Daily News sebagai jambatan suara masyarakat Cina di Malaysia akan terus berusaha dengan penuh tanggungjawab bagi menyampaikan kisah-kisah yang menarik mengenai hubungan itu.
“Ia sekali gus memberikan pemahaman yang lebih mendalam kepada pembaca mengenai perkembangan dan kemajuan dicapai China,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Konsul Jeneral China di Kota Kinabalu, Xue Xiaoning berkata, ia merupakan kali ketiga acara sama diadakan.
Katanya, tajuk pertandingan kali ini merangkumi pelbagai aspek termasuk pengetahuan am dalam sejarah, politik, ekonomi, masyarakat dan kebudayaan China dan Malaysia. Ia turut disertakan hasil kerjasama yang membuahkan hasil diantara kedua-dua negara khususnya Sabah.
“Jumlah peserta tahun ini mencapai 538 orang, ini jelas menunjukkan pengetahuan dan pemahaman para peserta terhadap kedua-dua negara, serta mencerminkan perhatian dan sokongan masyarakat terhadap hubungan China-Malaysia dan kerjasama China-Sabah,” katanya.
Beliau berharap lebih ramai rakan dari Sabah akan memberi perhatian dan menyokong perkembangan hubungan China-Malaysia dengan lebih mendalam, sekali gus memperkasakan lagi kerjasama persahabatan China-Sabah.
Hadir sama ialah Pengurus Operasi Kumpulan See Hua Sabah Toh Lu Hung, Pengurus Kanan Pejabat Kumpulan KTS Kawasan Sabah, Paul Hii serta tetamu kehormat yang lain. – Utusan Borneo