50 Peniaga Rayu Ditempatkan Semula Di Pasar Am Besar Kota Marudu

pasar-kota-marudu.jpg

Keadaan pasar besar am yang terbiar selepas kebakaran pada tahun 2018 yang lalu.

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Sekumpulan 50 peniaga menjual ikan dan daging ayam di sini, merayu pihak berkuasa supaya menempatkan mereka semula di Pasar Am Besar Kota Marudu untuk keselesaan mencari rezeki.

Kumpulan peniaga berkenaan mendakwa, ketika ini mereka terpaksa menumpang di pasar yang menempatkan peniaga barangan runcit dan sayur.

Ia bukan saja menyebabkan kurang keselesaan ekoran keadaan yang sempit tetapi juga rezeki pencarian mereka sering terganggu ekoran barangan jualan terlindung daripada penglihatan pengunjung.

Difahamkan, kumpulan peniaga berkenaan dipindahkan ke pasar itu sejak empat tahun lalu selepas bangunan dua tingkat Pasar Am Besar Kota Marudu musnah akibat kebakaran pada 2018.

Peniaga ikan masin, Lily Matajim, 63, berkata, dia kini terpaksa menumpang pasar yang menjual barangan runcit dan sayur-sayuran.

Katanya, sebelum kejadian kebakaran, semua peniaga ikan basah, kering dan daging ayam ditempatkan di pasar besar berkenaan.

“Tetapi selepas kebakaran, kami ditumpangkan ke pasar lain dan keadaan di sini agak kurang selesa kerana ruangnya sempit serta terlindung oleh jualan barangan runcit lain.

“Ini berlanjutan sehingga kini dan sekali gus menyebabkan pendapatan kami terjejas. Kalau dulu hanya peniaga ikan dan daging ayam dikumpulkan di satu tempat tetapi kini kami sudah bercampur dan pendapatan pun berkurangan kerana barangan jualan kami terlindung,” katanya ketika dihubungi, pada Isnin.

Seorang lagi peniaga yang enggan dikenali berkata, mereka pernah menyuarakan hasrat untuk kembali ke pasar lama berkenaan namun sehingga kini belum menerima maklum balas daripada pihak berkaitan.

“Ada juga kami maklumkan kepada pihak berkaitan namun difahamkan mereka tidak mempunyai kewangan yang mencukupi untuk membina semula pasar berkenaan.

“Jadi sehingga kini tiada khabar berita mengenainya sama ada ia dibina semula untuk peniaga yang selama ini memang berniaga di pasar itu,” katanya.

Sehubungan itu, peniaga di kawasan itu berharap mereka dapat dipindahkan ke pasar lama supaya mereka tidak perlu menumpang dan seterusnya mempunyai gerai jualan sendiri.-Asia Times Pulse

 

Sumber: Sabah360online

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top