KOTA KINABALU: Pitas, yang menjadi terkenal sebagai daerah dengan sambungan internet yang buruk setelah seorang pelajar universiti memanjat pohon langsat untuk mendapatkan akses internet untuk peperiksaan dalam taliannya dan menjadi viral, kini kembali ke media sosial.
Kali ini berpunca daripada video oleh penduduk Kampung Mengkapon yang berkongsi cara kreatif untuk mendapatkan penerimaan internet yang lebih baik dengan membina ‘menara telekomunikasi’ mereka sendiri dari batang buluh.
Mereka meletakkan telefon bimbit mereka, dengan menghidupkan ‘hotspot’, di dalam botol plastik dan menariknya tinggi ke hujung tiang.
Video yang dirakam itu boleh ditonton di sini, dan ia telah menarik perhatian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Berikut adalah kenyataan SKMM mengenai perkara itu semalam:
Susulan kisah penduduk di Kampung Mengkapon, Pitas, Sabah yang terpaksa menggunakan pelbagai kaedah kreatif untuk mendapat liputan Internet tular di media sosial, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ingin memaklumkan, pelbagai usaha giat telah diambil bagi memastikan kesalinghubungan di kawasan berkenaan sekaligus memberi kemudahan kepada penduduk setempat di sana.
Di bawah Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) 1, sebanyak 50 menara telekomunikasi baharu akan didirikan di Sabah. Daripada jumlah tersebut, 13 menara baharu akan didirikan di Pitas. Kampung Mengkapon telah dikenal pasti sebagai salah satu lokasi untuk pembinaan menara berkenaan.
Kerja-kerja pembinaan menara baharu ini telahpun dimulakan. Pada masa ini, pihak penyedia perkhidmatan yang dilantik sedang dalam proses memohon kelulusan daripada pihak Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah sebelum kerja-kerja dimulakan di tapak-tapak yang telah dipilih. Mengambil kira proses kelulusan, pembinaan menara dan pemasangan alat pemancar, adalah dijangkakan pembinaan menara akan siap dan beroperasi dalam tempoh antara enam (6) hingga 12 bulan. Dalam hal ini, kerjasama dari pihak Kerajaan Negeri juga amat diperlukan dari segi kelulusan untuk mempercepatkan pelaksanaan projek ini.
MCMC sentiasa prihatin dengan keluhan masyarakat berkaitan kemudahan telekomunikasi terutamanya di luar bandar dan melakukan usaha berterusan untuk merapatkan jurang digital di seluruh negara.