SEMPORNA: Lima rumah atas air dan sebuah kedai runcit di Kampung Panji musnah dalam kebakaran lewat petang semalam.
Tindakan pantas pasukan bomba dengan bantuan penduduk kampung berjaya mengawal kebakaran dari terus merebak ke puluhan rumah lain.
Jurucakap Pusat Kawalan Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Semporna ketika dihubungi berkata panggilan kecemasan itu diterima kira-kira 6.07 petang dan kebakaran dapat dikawal pada 7.54 malam.
“Sehingga kini tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran sedang disiasat,” katanya.
Sementara itu, dalam kejadian berasingan di Tawau, sebuah rumah atas air di Kampung Sri Aman, Jalan Apas roboh manakala dua rumah di Kampung Tanjung Batu Tengah rosak dalam kejadian ribut yang berlaku lewat malam tadi.
Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Tawau Madzlan Sarman berkata dalam kejadian rumah roboh itu, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.19 malam.
“Seramai 14 pegawai dan anggota digerakkan bersama jentera ke lokasi kejadian dan setibanya di sana didapati sebuah rumah atas air hampir tenggelam, tiang rumah itu roboh selepas angin ribut… tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan operasi tamat 12.50 tengah malam,” katanya.
Madzlan berkata dalam kejadian rumah rosak pula, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.58 pagi mengenai kejadian bumbung dua rumah berdekatan di Kampung Tanjung Batu Tengah dihempap pokok tumbang.
“Kerosakan bumbung setiap rumah adalah lebih kurang 80 peratus, namun tidak membabitkan kehilangan nyawa,” katanya yang menambah nilai kerugian bagi kejadian tersebut masih dalam siasatan.- FMT