KOTA KINABALU: Sekurang-kurangnya lima buah kenderaan tertimbus dalam satu lagi kejadian tanah runtuh yang berlaku di sini malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, PKPgB Agustavia Joe Guasi berkata, kejadian berlaku di Taman Publik Lintas Fasa 2.
Menurutnya, panggilan mengenai kejadian itu diterima menerusi talian balai pada jam 8 malam dan sepasukan sembilan orang diketuai Pegawai Operasi, PBK II Mohd Faizal Alias bersama sebuah jentera dan van EMRS bergegas ke lokasi.
“Setiba di lokasi yang terletak tiga kilometer dari BBP itu, didapati satu insiden tanah runtuh telah berlaku melibatkan lima buah kenderaan tertimbus di bahagian belakang kereta yang berada di tempat letak kereta.
“Pasukan bomba bertindak membantu mengeluarkan kereta yang tertimbus dengan menggunakan peralatan hidrolik,” katanya.
Menurut Agustavia, pasukan bomba seterusnya memasang sawar-sawar dan memberi nasihat kepada penduduk berhampiran untuk tidak menghampiri kawasan tanah runtuh tersebut.
Setelah memastikan tiada bahaya lain di lokasi, operasi ditamatkan pada jam 10.17 malam.- WARTA ORIENTAL