KUALA LUMPUR: Semalam, Yang di-Pertuan Agong dan Duli-Duli Tuanku Majlis Raja-Raja telah membuat keputusan untuk tidak melaksanakan cadangan darurat kerana berpendapat tiada keperluan buat masa ini.
Berdasarkan kenyataan media daripada pihak Istana Negara, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dusuki mencadangkan lima perkara untuk diberi pertimbangan serius meredakan suhu politik Malaysia.
Cadangan Dr Asyraf ialah;
- Perdana Menteri memanggil semua Presiden-Presiden Parti-Parti Politik samaada Kerajaan mahupun pembangkang bagi diadakan rundingan pra-persidangan Parlimen bagi memastikan Belanjawan 2021 kelak diluluskan demi kesejahteraan rakyat.
- Parlimen Batu Sapi dikekalkan status-quo sebagai kerusi Parti Warisan tanpa perlu ditandingi oleh mana-mana parti politik dalam Pilihanraya Kecil yang tidak boleh dielakkan sebagaimana peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
- Libatkan wakil-wakil semua Parti-Parti tidak kira Kerajaan dan Pembangkang untuk berada dalam Jawatankuasa Khas bagi membantu menangani isu-isu berkaitan Pandemik Covid-19 dan dampak negatif yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat.
- Rundingan bi-partisan (Kerajaan dan Pembangkang) boleh diadakan secara berkala untuk memfokuskan segala agenda untuk membantu rakyat yang dalam keresahan akibat kesan kegawatan ekonomi yang makin meruncing.
- Menghentikan segala percaturan politik berebut kuasa dan jawatan Perdana Menteri buat sementara waktu sehingga selesai pertarungan rakyat menghadapi Pandemik Covid-19 dan kegawatan ekonomi.
Asyraf juga mengharapkan semua ahli politik dapat mengambil pengajaran dan memahami maksud tersirat agar dihentikan segera segala politicking yang boleh membinasakan negara dan menyusahkan rakyat.
“Atas semangat yang disarankan Presiden UMNO untuk dilakukan segera gencatan politik dan rekonsiliasi politik (Perdamaian Politik),” kata Asyraf.
Sejak Tun Dr Mahathir meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, suasana politik Malaysia dilihat tidak stabil kerana perbezaan majoriti parti yang memerintah sangat kecil.
Pada masa yang sama, gangguan dan cubaan daripada pembangkang yang mendakwa mendapat cukup sokongan untuk mengambilalih mandat merimaskan rakyat terutama dalam keadaan negara sedang berhadapan pandemik Covid-19.
Oleh itu, dengan mengambil kira semua aspek, diharapkan titah YDPA dapat difahami oleh semua pihak khususnya ahli politik. – Buletin Asia.