RANAU: Seramai 496 pelajar B40 dari 11 sekolah menengah di daerah ini menerima bantuan komputer riba.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr. Joachim Gunsalam berkata, bantuan berkenaan merupakan sebahagian daripada 10,000 unit komputer riba yang diperuntukkan di bawah Program Bantuan Ihsan Komputer Sabah (BAIKS) tahun ini.
“Ia diagihkan kepada para pelajar daripada golongan B40 yang menduduki peperiksaan penting.
“Pemberian ini bukti keprihatinan kerajaan terhadap perkembangan pendidikan anak-anak Sabah.
“Sejajar dengan Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya, saya melihat inisiatif seperti ini sangat baik bagi membantu meningkatkan keupayaan modal insan iaitu dengan memberikan pendidikan yang berkualiti kepada anak-anak Sabah,”katanya ketika menyempurnakan penyerahan bantuan itu di sini, semalam.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang menasihatkan para pelajar agar memanfaatkan penggunaan peranti itu dengan sebaiknya dan ibu bapa juga hendaklah sentiasa memantau aktiviti anak-anak mereka.
“Kita bertanggungjawab untuk membentuk dan mendidik mereka supaya menjadi sebaik-baik manusia selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
“Saya berharap agar inisiatif-inisiatif seumpama ini dapat diteruskan di masa hadapan dalam memastikan generasi yang bijak pandai dapat dilahirkan dengan lebih ramai di Sabah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Tugas-Tugas Khas Datuk Mohd. Arifin Mohd. Arif dan berharap majlis ini dapat memberi impak serta hasil yang positif kepada semua pihak yang terlibat.