490 usahawan pasar tamu Sabah, S’wak terima manfaat SPUT

ewon.jpg
Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Seramai 490 usahawan ‘pasar tamu’ Sabah dan Sarawak menerima manfaat daripada Skim Pembiayaan Usahawan Tamu (SPUT) dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM2.25 juta setakat 30 September lepas.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata menerusi skim di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional itu, sejumlah RM5 juta untuk usahawan pasar tamu diperuntukkan bagi meningkatkan pendapatan dan taraf sosioekonomi golongan B40 di Sabah dan Sarawak.

“Bagi usahawan muda pula, TEKUN Nasional menyalurkan pembiayaan kepada 75 orang usahawan di Sabah dan Sarawak di bawah Skim Pembiayaan Usahawan Belia,” katanya di Dewan Rakyat kelmarin bagi menjawab soalan Datuk Ali Biju (PNSaratok).

Ali ingin tahu langkah terkini Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dalam memberdayakan usahawan terutama dalam kalangan B40 serta usahawan muda di kawasan luar bandar Sabah dan Sarawak.

Bagi Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) Plus di bawah Program Pengukuhan Mikro MADANI, sebanyak 73 permohonan diterima sejak pelancaran program itu pada 1 Oktober lepas.

Melalui program BEEP Plus, Ewon berkata geran sebanyak RM10 juta disediakan khusus untuk usahawan bumiputera Sabah dan Sarawak, dengan bantuan secara Geran Padanan hingga 70 peratus pembiayaan atau maksimum RM250,000 bagi setiap kelulusan.

Seramai 1,852 usahawan belia Sabah dan Sarawak menerima geran sebanyak RM25.54 juta sejak 2014 di bawah program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) oleh SME Corp. – BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top