49 Orang Dilantik Sebagai JPKK DUN Lumadan

ruslan-lumadan.jpg
Kongsi Bersama

BEAUFORT: Seramai 49 orang telah dilantik sebagai Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan Ruslan Muharam (gambar) berkata, semua lantikan JPKK adalah bertujuan untuk dijadikan sebagai badan penyelaras serta penggerak pembangunan diperingkat kampung selain menjadi penghubung diantara rakyat dan kerajaan.

Katanya, JPKK perlu mengenal pasti kekuatan kampung dengan mengambil kira peluang yang terdapat di kampung berkenaan untuk dimajukan sebagai usaha mewujudkan peluang pekerjaan serta meningkatkan pendapatan orang kampung.

“Ini adalah penting kepada anak muda dan bagi mengurangkan berlakunya penghijrahan beramai-ramai ke bandar misalnya ke Semenanjung Malaysia.

“Anggota JPKK juga perlu melihat aspek perpaduan yang perlu diperkukuhkan dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan selepas Majlis Penyerahan Watikah yang diadakan di sini, pada Khamis.

Beliau turut mengingatkan bahawa mana-mana anggota JPKK yang tidak memberikan kerjasama, menyalahgunakan kuasa, muflis atau mempunyai rekod jenayah. Anggota itu akan diambil tindakan disiplin dan boleh ditamatkan perkhidmatannya atas perakuan ADUN dan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah.

“JPKK juga perlu ada usaha mencegah aktiviti-aktiviti sosial yang tidak sihat seperti penyalahgunaan dadah di kawasan kampung masing-masing”, katanya.

Turut hadir dalam penyerahan watikah pelantikan ialah Pengarah Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sabah Datuk Matbali Musah, Pegawai Pemimpin Masyarakat (PPM) DUN Lumadan Diuslin Agustine, Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Beaufort Mohd Ainol Mohd Dun serta tetamu kehormat yang lain. – Utusan Borneo


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top