TAWAU: Seramai 475 ahli dari Parti Warisan Sabah (WARISAN) di kawasan parlimen Tawau memilih untuk meneruskan perjuangan mereka bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
Mereka menyerahkan permohonan menyertai BERSATU kepada Datuk Nizam Abu Bakar Titingan dalam majlis Ramah Mesra yang berlangsung di Kg Wakuba, Kg Tinagat dan Kg Balung Cocos di sini.
Nizam merupakan calon BERSATU bagi DUN Apas dalam pilihan raya negeri pada 26 September ini.
Menurut Nizam, berdasarkan respon yang diterima semasa dalam tempoh berkempen ini, dijangka lebih ramai lagi pengundi di Parlimen Tawau akan menyertai BERSATU dalam tempoh terdekat.
“Hal ini menunjukan sokongan rakyat terhadap BERSATU semakin meningkat kerana pengundi sudah mula sedar pemimpin mana yang mampu mentadbir negeri dengan baik.
“Selama dua tahun lebih mereka di bawah pemerintahan kerajaan WARISAN tiada apa yang mereka dapat, malah setiap bantuan hanya diberikan kepada golongan yang tertentu sahaja,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Bahagian BERSATU Tawau berkata, tindakan keluar parti itu adalah tepat pada masanya untuk memastikan rakyat di kawasan itu terus terbela.
Sehubungan itu, beliau berharap lebih ramai lagi rakyat di kawasan itu sedar dan tidak mudah terpedaya dengan janji kosong yang dibawa oleh WARISAN dalam PRN kali ini.
Foto: FB Nizam Abu Bakar Titingan