46 Korban Banjir, 54,532 Mangsa Masih Di PPS – Ketua Polis Negara

mangsa-banjir-2.jpg
Kongsi Bersama

SHAH ALAM: Sejumlah 46 kematian akibat bencana banjir telah direkodkan sehingga jam 4 pagi, 25 Disember, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Abdullah Sani.

Dalam sidang media di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Taman Sri Muda di sini hari ini, beliau berkata, lima lagi mangsa masih dilaporkan sebagai hilang.

Acryl Sani berkata, Selangor masih mencatatkan bilangan mangsa korban tertinggi, iaitu sebanyak 25 kematian.

“Bilangan mangsa kematian dilaporkan, sehingga kini pihak PDRM melalui laporan rasmi diterima, sejumlah 46 mangsa kematian direkodkan setakat 4 pagi tadi.

“Di Selangor terdapat 25 kematian, di Pahang 18 kematian, manakala di Kelantan tiga kematian, menjadikan jumlah 46. Di sini juga lima mangsa masih lagi hilang, kita harap akan dapat ditemui secepat mungkin,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Acryl Sani berkata, masih terdapat 334 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di seluruh negara, dengan keseluruhan mangsa seramai 54,532 orang.

Setakat ini, tambahnya lagi, Pahang masih mencatat bilangan mangsa tertinggi di PPS, iaitu seramai 29,108 orang, diikuti Selangor (23,702), Kelantan (974), Kuala Lumpur (238), Perak (105), dan Melaka (38).

Dari segi bilangan kes jenayah pula, beliau berkata, sejumlah 15 kes direkodkan sehingga 24 Disember, dengan lima kes melibatkan curi motor dan kenderaan, manakala sepuluh lagi melibatkan kes pecah masuk premis perniagaan dan persendirian. – Awani


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top