TAWAU: Sebanyak 45 sambungan haram dari paip utama yang dipercayai disalurkan kepada lebih 150 rumah setinggan di Kg Kurnia Jaya dan Kg Air Batu 4, Jalan Apas di sini, dipotong Jabatan Air Daerah Tawau (JADT), pada Selasa atas kesalahan di bawah Seksyen 49(b) Enakmen Bekalan Air Negeri Sabah 2003.
Jurutera Air Daerah Tawau, Abdul Halim Ag Marali berkata, tindakan itu diambil susulan maklumat diterima dan hasil siasatan di lokasi dalam operasi pemotongan yang dijalankan.
Katanya, JADT Tawau dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) bertindak menjalankan operasi pemotongan di sekitar kawasan itu.
Menurutnya, operasi pemotongan itu dijalankan oleh pihak kontraktor dan dipantau oleh anggota penguatkuasa JADT Tawau bersama pasukan PDRM.
Abdul Halim juga meminta para pengguna agar sentiasa mematuhi undang-undang dinyatakan dalam Enakmen Bekalan Air Nageri Sabah 2003 atau berdepan denda yang berat jika didapati melakukan kesalahan.
“Orang ramai diminta memberikan kerjasama dengan memaklumkan kepada Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) sekiranya terdapat sebarang kes kecurian atau kebocoran paip air,” katanya.
Abdul Halim berkata, laporan segera boleh disalurkan menerusi nombor Careline Jabatan Air di talian 088-326888. –