KOTA KINABALU: Sebanyak 437 barangan akeseori wanita disyaki tiruan yang dianggarkan bernilai RM10,573.30 disita dalam tiga serbuan berasingan sekitar daerah ini dan Penampang kelmarin.
Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah, Georgie Abas berkata, kesemua barangan aksesori wanita itu termasuk beg tangan, dompet, selipar dan gelang berjenama Louis Vuitton (LV) dan Chanel yang disyaki tiruan dirampas dalam serbuan yang dijalankan selama dua hari bermula Selasa.
Beliau berkata, serbuan itu dilakukan hasil maklumat daripada syarikat yang menjadi wakil sah berdaftar untuk jenama kedua-dua jenama mewah yang disita di dalam kes ini.
“Serbuan dijalankan oleh 10 pegawai dan anggota penguat kuasa KPDNHEP Sabah bersama wakil kepada pemilik cap dagang berdaftar untuk jenama Louis Vuitton (LV) dan Chanel di tiga buah premis perniagaan berbeza lokasi di sekitar Kota Kinabalu dan Penampang.
“Ketiga-tiga pemilik premis perniagaan disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Cap Dagangan 2019 dan disiasat mengikut seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 kerana memiliki barang-barang dengan cap dagangan yang dipakaikan dengan salah.
“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM10,000 bagi setiap barang atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi pertubuhan perbadanan boleh didenda tidak lebih RM15,000 bagi setiap barangan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Georgie berkata, kementerian itu akan terus menguatkuasakan undang-undang di bawah Akta Cap Dagangan bagi membanteras penjualan barangan tiruan dan aktiviti cetak rompak di pasaran.
Oleh itu, beliau mengingatkan peniaga agar lebih bertanggungjawab serta menghormati harta intelek orang lain di samping sentiasa berusaha membuat semakan status kesahihan dan ketulenan barangan yang dibekalkan.
Untuk pengguna pula, dinasihatkan supaya tidak menyokong jualan barangan tiruan di pasaran yang belum tentu terjamin dari segi kualiti dan keselamatannya.