KOTA KINABALU: Lebih 4,000 orang telah menerima bantuan daripada Yayasan Kebajikan Sabah (YKS) sejak penubuhannya September tahun lalu.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata idea untuk YKS dicetuskan ekoran pandemik Covid-19 memandangkan ramai yang menderita dan memerlukan bantuan.
Hajiji berkata kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN) menubuhkan YKS untuk membantu rakyat dan mahu ketelusan dalam pengurusannya mengikut undang-undang dan peraturan dalam mentadbir yayasan.
Beliau berkata yayasan itu setakat ini telah membantu 4,332 individu yang memerlukan di Sabah, terdiri daripada mangsa bencana alam, keluarga dan murid sekolah.
“Bantuan juga diberikan untuk kes kecemasan yang tidak dilindungi oleh organisasi bantuan lain serta agensi kerajaan,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat lembaga pemegang amanah YKS di Menara Kinabalu di sini pada Selasa.
Dalam pertemuan itu, Ketua Menteri turut diberi taklimat oleh pengarah YKS Rugayah Awang Besar mengenai aktiviti dan rancangannya.
Antaranya ialah menubuhkan Teratak Perihatin YKS, sebuah rumah tumpangan untuk orang-orang miskin dari daerah yang jauh untuk tinggal sementara ketika menziarahi saudara mereka di hospital di sini.
Rumah yang hampir 75% siap itu mampu memuatkan sehingga 20 orang pada satu-satu masa.
Hajiji kemudiannya menyaksikan penyerahan sumbangan RM40,000 kepada YKS daripada Kelab Rekreasi, Kebajikan dan Sukan Kementerian Kewangan negeri.
Sumbangan itu disampaikan kepada Rugayah oleh setiausaha tetap kementerian itu Sofian Nair.