TAWAU: Perbatasan Malaysia- Indonesia di Kampung Sungai Melayu dan Serudong dalam kawasan Sebatik yang dijadikan pintu masuk antara Kalimantan dan Sabah akan dibangunkan sebagai bandar baharu berkonsepkan pelancongan yang terpenting di kepulauan Borneo.
Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB), Datuk Masiung Banah berkata, keperluan infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik hendaklah terlebih dahulu menjadi keutamaan sebelum pembangunan sempadan dilaksanakan.
Beliau telah membuat lawatan kerja tiga hari di Kalabakan, Sungai Melayu dan Serudong berakhir kelmarin.
Diringi Wakil Rakyat Sebatik, Hassn A Gani Pg. Amir, beliau meninjau potensi komersial dan ekonomi di kedua-dua pintu masuk sempadan Malaysia-Indonesia itu.
Masiung menandatangani buku lawatan setibanya di pos kewalan Wallacebay Sebatik ketika dalam rangka lawatan ke sempadan Indonesia-Malaysia di Sungai Melayu.
Kedua-dua lokasi tersebut terletak di Sebatik, Kalabakan adalah antara empat pintu masuk utama yang menghubungkan Sabah dan Kalimantan Sabah, selain Long Pasia di Sipitang dan Pagalungan di Nabawan.
Selasa lalu, Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor mengumumkan penubuhan Lembaga Kemajuan Wilayah (RDA) bagi menguruskan bandar sempadan baharu di Serudong, Kalabakan yang menjadi satu daripada empat pintu masuk dari Kalimantan, Indonesia ke Sabah.
Menurut Masiung, LPPB telahpun memulakan langkah awal untuk membangunkan kawasan Sungai Melayu, termasuk pembinaan pusat rekreasi, padang golf dan hotel bertaraf lima bintang selain membina bangunan komersial dan perumahan awam.
Katanya, LPPB kini sedang dalam proses untuk menawarkan kepada pemaju tempatan dan luar negara bagi melaksanakan program pembangunan di kawasan itu yang dilaksanakan secara berperingkat.
Sementara di Serudong, LPPB dijangka merangka garis panduan awal untuk mengambil bahagian dalam industri pembangunan komersial jika RDA bersetuju mengenai pelan cadangan agensi kerajaan negeri itu.
Masiung berkata, kerja-kerja penimbusan tanah dan jalanraya akan mula dilaksanakan penghujung tahun ini di Sungai Melayu yang menelan belanja RM3 juta.
“Rangkaian jalan raya itu nanti akan merentasi perbatasan Sungai Melayu ke Sungai Nyamuk dalam daerah Nunukan, Indonesia,” jelasnya.
Katanya, Kerajaan Negeri telahpun meluluskan seluas 420 ekar untuk cadangan pelaksanaan Bandar Baharu Sungai Melayu Sebatik
Masiung berkata, agensinya telahpun merangka pelan pembangunan komersial dan perumahan sesuai dengan statusnya sebagai bandar sempadan berkonsepkan pelancongan dan sosio-ekonomi serantau.
“Kedua-dua lokasi dicadangkan mempunyai potensi cerah untuk dimajukan memandangkan Kalimantan Timur kini sedang dibangunkan sebagai persiapan pemindahan ibu kota Indonesia dan pusat pentadbiran pusat negara itu menjelang 2024,” katanya.
Menurutnya, LPPB kini mempelawa para pemaju tempatan untuk menjalinkan usahasama bagi membangunkan projek di bawah agensi tersebut.
“Semalam saya rasa terkilan dan kecewa ketika sampai di Serudong Simanggaris. Di sebelah Indonesia jalan cukup cantik, tapi kita di Serudong terlalu jauh ketinggalan ke belakang.
“Kita terpaksa menggunakan kenderaan pacuan empat roda dari Serudong meredah hutan melalui jalan balak untuk sampai ke sempadan,” tambahnya.
Semasa lawatan kerja tiga hari itu, Masiung turut melawat cadangan pembangunan pekan baharu Kalabakan dan meninjau pelaksanaan 100 unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang kini sudah 70 peratus siap. – Warta Oriental