Langkah Mantapkan Sukan Memanah, PETRA Diperuntukkan RM30,000

Nizam-Memanah.jpg
Kongsi Bersama

TAWAU : Persatuan Memanah Tradisional Tawau (PETRA) menerima peruntukan sebanyak RM30,000 daripada kerajaan negeri sebagai sokongan dalam memantapkan sukan memanah di daerah ini.

Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata peruntukan itu bagi menambah baik lapang sasar yang sedia ada di tanah seluas dua ekar di Kampung Membalua, di sini.

“Kami difahamkan keadaan lapang sasar itu masih serba kekurangan dan memerlukan kos untuk pembaikan serta melengkapkan infrastrukturnya supaya menjadi sebuah tempat yang sesuai dengan sukan tersebut.

“Lapang sasar itu nanti diharap dapat menjadi tumpuan peminat-peminat sukan memanah dari dalam dan luar daerah serta mampu menganjurkan pertandingan-pertandingan berprestij bertaraf antarabangsa,”katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui dalam majlis perasmian Akademi Sunnah anjuran PETRA, di sini.

Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata sebagai wakil rakyat di daerah ini  menyambut baik hasrat PETRA untuk mengembangkan sukan memanah tradisional ke peringkat lebih tinggi.

“Masyarakat Tawau terutamanya golongan belia perlu mengambil kesempatan untuk menggunakan kemudahan itu dan berlatih supaya lebih ramai lagi pemanah hebat dapat dilahirkan di daerah ini.

“Syabas diucapkan kepada PETRA kerana berjaya mewujudkan akademi tersebut dan memberi peluang kepada masyarakat Tawau mendekati diri dengan sukan yang menyihatkan ini,”katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sentiasa memberi sokongan setiap perkara yang memberi manfaat kepada semua rakyatnya.

“Kerajaan berusaha membantu merealisasikan setiap perancangan pihak-pihak yang mahu melakukan aktiviti terutamanya melibatkan semua golongan masyarakat.

“Saya berharap PETRA akan sentiasa maju ke hadapan dan dapat mengasah bakat peminat sukan memanah tradisional menjadi seorang pemanah yang terkenal di peringkat antarabangsa,”katanya.

Turut hadir presiden PETRA Ustaz Mohd Faizal Yusuf, Penaung Kee Muhammad Yassin Kee Yusuf dan Penasihat Khalid Mohd Tahir.

Sumber:

Berita: Utusan Borneo/Foto: FB Nizam Abu Bakar Titingan

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top