KOTA KINABALU: Pengusaha pelancongan di Semporna yang masih belum mendaftarkan syarikat mereka digesa berbuat demikian dengan segera bagi mengelak sebarang masalah pada masa hadapan, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Jafry Arifin.
Jafry berkata, sepanjang pengetahuannya terdapat sekurang-kurangnya 41 syarikat di Semporna yang masih belum mengemukakan permohonan lesen untuk beroperasi.
“Daftar segera untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini. Pengendali pelancongan yang tidak berlesen meletakkan mereka yang menggunakan perkhidmatannya dalam risiko. Contohnya jika berlaku kemalangan di laut membabitkan pengusaha pelancongan haram, ia bukan sahaja menjejaskan pengunjung tetapi juga pihak berkuasa kerana kekurangan rekod maklumat pengusaha, bot, dan pelancong,” katanya.
Jafry yang dalam lawatan kerja ke Semporna berkata, hasrat kementerian adalah untuk memastikan pelancong dilindungi dan pengusaha pelancongan telus dengan perkhidmatan yang ditawarkan.
“Saya yakin dan percaya, kejayaan atau kegagalan destinasi pelancongan bergantung kepada keupayaan kita menyediakan persekitaran yang selamat dan terjamin kepada pelancong,” tambahnya.
Sementara itu, mengenai aduan pengusaha pelancongan mereka terpaksa menunggu lama untuk pemeriksaan di jeti pelancong Semporna sebelum dibenarkan berlepas ke pulau-pulau itu, Jafry berkata ia akan diteliti segera.
Beliau mencadangkan agar satu usaha bersepadu dilaksanakan antara Majlis Daerah Semporna, pihak berkuasa dan pengusaha pelancongan bagi memastikan perjalanan selamat untuk pengunjung.
“Kita mempunyai peraturan dan undang-undang yang perlu dipatuhi, jadi dengan tindakan bersepadu dan kerjasama daripada semua pihak berkepentingan, saya yakin semua masalah dapat diselesaikan,” kata Jafry.