40,000 Penduduk Kota Kinabalu Berhadapan Catuan Bekalan Air

bekalan-air.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kira-kira 40,000 penduduk sekitar pusat bandar raya ini berhadapan catuan bekalan air sehingga Jun 2022.

Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Ir. Edward Lingkapo berkata, catuan bekalan air terpaksa dilakukan sehingga pembinaan dua loji rawatan air (LRA) di Telibong I dan Telibong II siap menjelang pertengahan tahun depan.

Edward Lingkapo semasa sidang akhbar mengenai masalah gangguan bekalan air JANS di Kota Kinabalu pada Isnin.

Beliau berkata, pada masa ini bekalan air yang diperlukan 190 juta liter sehari (mld) namun, kapasiti air yang mampu dibekalkan sekarang hanya 164 mld.

Justeru, catuan bekalan air terpaksa dilakukan bagi membolehkan semua kawasan menerima bekalan air. Namun, catuan air sedikit terganggu sejak 6 November lalu kerana dua pam air terawat mengalami kerosakan akibat bekalan elektrik yang tidak stabil.

“Pembaikan pam ini dijangka siap pada 28 November dan catuan akan kembali dilakukan sehingga pertengahan tahun depan.

“Bekalan air dijangka akan kembali stabil sebaik sahaja kedua-dua loji rawatan air yang membekalkan tambahan 80 mld itu siap sepenuhnya,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Menurutnya, sebagai langkah penyelesaian segera JANS akan terus menghantar lori tangki air ke 18 kawasan perumahan yang terjejas teruk sepanjang 24 jam sehingga pam yang rosak siap diperbaiki.

Antara kawasan terjejas termasuk Bandar Sierra, University Utama Condominium (UUC), Telipok; University Condo Apartment (UCA), Menggatal; Taman Bukit Sepanggar, Taman Rugading dan Taman Wangsa Telipok.

Beliau juga menasihatkan pihak pengurusan untuk menyediakan tangki simpanan air bagi membolehkan pengurusan membekalkan air kepada penghuni dengan lebih pantas.

Mengulas lanjut katanya, pembinaan Empangan Papar akan diteruskan sebagai langkah penyelesaian jangka panjang.

“Kita dalam proses melantik konsultan dan mereka akan menjalankan kajian selama enam hingga sembilan bulan pada tahun depan untuk melihat hala tuju air di negeri ini.

“Pembinaan akan diteruskan di kawasan yang dikenal pasti. Kelewatan pembinaan empangan ini sudah tertangguh selama 12 tahun. Jika pembinaannya tidak terganggu, empangan ini sudah siap lima tahun yang lalu dan isu bekalan air yang berlaku sekarang tidak timbul.

“Malah, Sungai Ulu Papar yang dahulunya jernih kini, sudah menjadi keruh susulan pembangunan yang tidak terkawal,” katanya. – Warta Oriental


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top