40,000 Kenderaan Diperiksa Setiap Hari SJR Di Sabah

roadblock-pkp.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Sebanyak 40,000 kereta diperiksa setiap hari di sekatan jalan raya (SJR) sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Sabah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata jumlah kenderaan yang diperiksa terbabit adalah dua kali ganda lebih banyak berbanding pelaksanaan PKP pertama tahun lepas.

“Sepanjang tempoh PKP yang dilaksanakan pada tahun lepas, jumlah kenderaan diperiksa di SJR adalah dalam kira-kira 20,000 hingga 25,000 kenderaan pada setiap hari.

“Walau bagaimanapun, jumlah itu meningkat kepada 35,000 hingga 40,000 kenderaan setiap hari pada PKP kali ini.

“Jumlah kenderaan yang diperiksa pada hujung minggu pula didapati, terus meningkat kepada 60,000 kenderaan sehari,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, semalam.

Masidi berkata, peningkatan pergerakan dan jumlah kenderaan terbabit majoritinya, berpunca daripada pengguna jalan raya yang menyalahgunakan surat kebenaran merentas daerah.

“Peningkatan pergerakan kenderaan ini adalah disebabkan oleh penyalahgunaan surat kebenaran bertugas terutama golongan petugas dalam perkhidmatan perlu.

“Ini termasuk, menggunakan surat kebenaran bertugas harian untuk balik kampung dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati pergerakan kenderaan khususnya di Kota Kinabalu pada hujung minggu adalah disebabkan Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan digabungkan sebagai satu daerah.

Semalam, Sabah mencatatkan 263 kes positif baharu COVID-19, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 48,570 kes.

Dua kes kematian direkodkan, masing-masing membabitkan daerah Kudat dan Sandakan. – BH Online


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top