KOTA KINABALU: Sebanyak 4,000 skrin pengiklanan digital dan 24 skrin pengiklanan gergasi akan dipasang di semua bandar-bandar utama yang menjadi laluan dan tumpuan orang ramai di Sabah.
Ini dilaksanakan sebagai ‘pilot project’ di bawah Yayasan Bumiputera Sabah Sdn. Bhd., sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri Sabah, dengan kerjasama dari pihak berkuasa tempatan yang terlibat.
Untuk tujuan ini satu majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) diadakan antara anak syarikat YBS, iaitu YBS Tenaga Sdn. Bhd. dengan pihak Berkuasa Tempatan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Selasa disaksikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Haji Noor.
Majlis menandatangani MOU ini melibatkan lima Pihak Berkuasa Tempatan iaitu Majlis Dearah Tuaran, Majlis Daerah Keningau, Majlis Daerah Putatan, Majlis Perbandaran Tawau dan Majlis Daerah Penampang untuk fasa pertama projek yang melibatkan pemasangan 2,424 skrin pengiklanan digital.
Projek ini dilaksanakan dengan kerjasama usahawan bumiputera iaitu, Yunus Property Consultant Sdn. Bhd. dan rakan-rakan kerjasama.
Secara tidak lansung dengan pemasangan skrin ini dapat meningkatkan imej kawasan-kawasan yang terlibat.
Pengerusi YBS, Datuk John Ambrose berkata, projek ini apabila beroperasi sepenuhnya kelak akan memberi nafas baharu kepada Sabah dari segi elemen keceriaan dan tata hias landscapenya, sekaligus mampu menjadi tarikan kepada rakyat tempatan mahupun pelancong luar.
Pemasangan LED Digital Screen ini secara tidak langsung akan menjadikan Sabah sebagai negeri yang up-to-date kepada kemodernan, katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yunus Property, Mohd. Yunus Apil berkata, dengan adanya pengiklanan digital ini juga secara tidak langsung dapat membantu usahawan-usahawan khususnya usahawan dan peniaga-peniaga kecil di negeri ini dalam mempromosikan perniagaan perkhidmatan dan produk mereka.
“Dalam suasana perniagaan yang begitu bersaing dengan ekonomi negara yang baharu meningkat, strategi pengiklanan seperti ini akan dapat membantu perniagaan mereka.
“Tambahan pula, kadar pengiklanan yang dikenakan oleh pengendali projek ini adalah lebih murah dan mampu ditanggung oleh usahawan sederhana. Usahawan juga dapat menikmati ruang pengiklanan yang lebih luas,” katanya.
Projek pengiklanan digital ini dapat merealisasikan objektif Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0 (2021-2025) yang merupakan suatu kerangka pembangunan penting dalam mengangkat kemajuan negeri Sabah dan rakyatnya dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Hari ini kita berhadapan dengan peningkatan kemajuan teknologi secara global yang telah merentasi keseluruhan bidang, merangkumi perhubungan antarabangsa dan strategi perniagaan.
“Oleh sebab itulah satu teras Hala Tuju SMJ adalah memberi penekanan terhadap Kerajaan Digital Berteraskan Teknologi dan Inovasi. Dalam dunia perniagaan dan tadbir urus kerajaan, keseluruhannya sudah beralih arah ke digital, malah kita akan lebarkan pendekatan ini dalam memantapkan jaringan kepada infrastruktur dan kelestarian hijau di Sabah,” katanya.
Dalam majlis yang sama turut berlansung sesi menandatangani Perjanjian Kerjasama (MOA) antara YBS Tenaga dan Yunus Property Consultant, dan MOA antara YBS Tenaga, Yunus Property Consultant dan OCK Berhad.
Bersempana dengan bulan Ramadhan yang mulia ini, Ketua Menteri turut mengambil kesempatan untuk memberikan sumbangan kepada golongan asnaf, orang kurang upaya (OKU), Pusat Kebajikan Anak Yatim dan Bulan Sabit Merah Tuaran.