400 Warga Filipina Merusuh di DTI Manggatal

PATI-rusuh.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Hampir 400 warga Filipina di Depoh Tahanan Imigresen (DTI) Manggatal cuba melarikan diri dari lokap dalam satu kekecohan tetapi gagal melepasi pagar di sekitar kawasan lokap, pada Jumaat.

Insiden jam 6.30 petang itu dipercayai berpunca dari rasa tidak puas hati mereka dengan penangguhan penghantaran pulang ke negara asal.

Timbalan Pengarah Imigresen (Operasi) Sabah, Masri Adul, berkata siasatan awal mendapati bahawa insiden itu bermula dari sebuah blok yang menempatkan tahanan wanita.

Menurutnya sekumpulan tahanan wanita mengakui terlalu ‘tertekan’ dan meminta dihantar pulang ke negara mereka dengan segera.

“Provokasi kedengaran dari penghuni blok tahanan lelaki yang terletak berhadapan dengan blok wanita, sekaligus mencetuskan kekecohan itu.

“Penghuni lelaki di tiga blok itu memecahkan kunci pintu lokap mereka dan berlari ke arah kawasan di luar lokap mereka,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Masri berkata, sebaik menyedari insiden itu, orang yang bertanggungjawab terhadap DTI itu segera menghubungi polis dan ibu pejabat imigresen negeri untuk bantuan.

Beliau memberitahu kira-kira 70 anggota dan pegawai serta 40 anggota bahagian penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dikerah ke lokasi.

“Insiden itu akhirnya dapat dikawal selepas berlaku rundingan yang saya dan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asistan Komisioner Mohd Zaidi Abdullah lakukan.

“Ketika rundingan itu, kami menjelaskan secara terperinci kepada penghuni mengenai keadaan sebenar berhubung proses penghantaran pulang yang terpaksa ditangguhkan.

“Kami jelaskan bahawa proses penghantaran pulang itu tertangguh atas permintaan Kedutaan Filipina sendiri disebabkan beberapa sebab, termasuk berkaitan pandemik Covid-19,” katanya.

Masri berkata rundingan itu berlangsung hampir satu jam sebelum semua tahanan akur dan kembali ke lokap masing-masing.

Sementara itu, Masri berkata pasukan polis akan menempatkan seramai 30 anggota di DTI itu selama beberapa hari untuk memantau keadaan.

“Tiada kerosakan berlaku dalam insiden itu dan pemantauan juga akan dilakukan dari semasa ke semasa,” katanya. -DE

 

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top