TAWAU: Kira-kira 400 bendera Malaysia dan bendera Sabah berjaya diagih kepada pemilik kenderaan di laluan masuk Batu 4 Jalan Apas, di sini semalam.
Aktiviti itu adalah inisiatif ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Pusat Daerah Mengundi (PDM) Batu 4 Jalan Apas.
Ketua Bahagian BERSATU Tawau, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata inisiatif ini sangat bermanfaat kerana ia dapat menzahirkan rasa kecintaan kepada negara dan negeri kita.
Katanya, seluruh rakyat harus bersyukur kerana dapat merasai nikmat kemerdekaan walaupun hidup dalam lingkungan pelbagai agama, kaum dan bangsa.
“Kita dapat mengecapi kehidupan yang aman damai ini disebabkan pengorbanan pemimpin dan pejuang kemerdekaan terdahulu.
“Anugerah yang diberikan ini perlu dipelihara dengan sebaiknya dan perpaduan yang menjadi landasan keamanan di negara ini harus dikekalkan,” katanya.
Nizam yang juga Pembantu Menteri Kewangan Sabah berkata demikian ketika hadir menjayakan program mengagihkan bendera di Batu 4 Jalan Apas, di sini semalam.
Menurutnya, pelbagai usaha dan pendekatan yang dilakukan oleh kerajaan hari ini supaya semua rakyat dapat menghargai erti kemerdekaan.
“Selain itu, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) juga turut bersama-sama menjayakan sambutan Bulan Kebangsaan yang disambut tahun ini.
“Saya difahamkan program-program sebegini diteruskan sehingga 16 September nanti iaitu meraikan Hari Malaysia,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, pihaknya mahukan setiap kenderaan yang ada di daerah ini perlu dipasang dengan bendera Malaysia dan Sabah.
“Saya melihat program memasang dan mengagihkan bendera ini mendapat sambutan yang positif daripada pemilik-pemilik kenderaan.
“Kita berharap, program ini dapat dilaksanakan di kawasan lain supaya sambutan Hari Kebangsaan tahun ini bertambah meriah,” katanya.
Sumber berita: Utusan Borneo
Sumber foto: FB Pena Biru