400 ahli MUDA Semporna, beberapa Parlimen MUDA Sabah isytihar keluar parti

MUDA-keluar-parti.jpg

Yusof bersama ahli MUDA Semporna yang hilang kepercayaan dan bertindak keluar parti.

Kongsi Bersama

SEMPORNA: Lebih 400 ahli dan pemimpin Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Semporna mengisytiharkan keluar parti selepas mendakwa hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan parti itu di Sabah.

Menurut Yusof Pg Abd Kasim yang sebelum ini Ketua Parlimen MUDA Semporna berkata, tindakan itu diambil selepas mendapati parti berkenaan di Sabah tiada hala tuju jelas dan semakin lumpuh.

Katanya, beberapa pimpinan utama MUDA di Sabah juga sudah bertindak meninggalkan parti ekoran hilang kepercayaan, malah ada yang beralih arah menyokong parti lain.

“Parti MUDA di Sabah juga semakin tidak relevan untuk orang muda kerana ahli yang lantang mengkritik dalaman parti digesa supaya meninggalkan parti.

“Justeru, kami melihat parti MUDA Sabah sudah semakin hilang hala tuju dan tiada demokrasi untuk bersuara,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Beliau yang juga sebelum ini Jawatankuasa Eksekutif Negeri (JKEN) MUDA Sabah berkata, proses pemutihan yang mahu dilaksanakan juga tidak berjalan dengan lancar dan seperti kurang praktikal.

Katanya, semua ahli digesa untuk mendaftar semula melalui sistem baharu, namun sehingga kini belum ada pengesahan status keahlian, malah JKEN diminta berhubung dengan Setiausaha Agung MUDA Malaysia.

“Saya selaku Ketua Parlimen MUDA Semporna pada masa itu juga mengkritik pelbagai isu dalaman yang melibatkan pergerakan MUDA Sabah supaya terus fokus dan relevan di negeri ini.

“Namun, JKEN seolah-olah tidak mendengar keluhan saya dan ahli lain, malah dimaklumkan semua Parlimen MUDA Sabah terbubar tanpa memberikan kenyataan rasmi terlebih dahulu,” katanya.

Yusof berkata, pihaknya berpandangan MUDA Sabah tidak menghargai semangat perjuangan kami selama ini.

“Bagaimanapun, saya dan ahli MUDA Semporna sebelum ini akan terus memperjuangkan revolusi yang diinginkan sama ada melalui platform berparti ataupun badan bukan kerajaan (NGO),” katanya.

Terdahulu, antara yang difahamkan sudah bertindak keluar parti ialah Pengerusi MUDA Sabah, Amos Thien; Setiausaha MUDA Sabah, Warence Mudin; Ketua Biro Keluarga & Gender MUDA Sabah, Karen Rachel Haris bersama jawatankuasanya dan Ketua Parlimen Kota Belud Junaidi Ahyak bersama ahlinya. – Utusan Borneo

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top