40 tukun tiruan dilabuhkan di perairan Batu Payung

tukun.jpg
Kongsi Bersama

TAWAU: Sebanyak 40 unit tukun tiruan dilabuhkan Jabatan Perikanan Sabah dengan kos dianggarkan bernilai RM450,000 di perairan Batu Payung, di sini.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, tukun tiruan dikenal pasti antara kaedah berkesan bagi memperkayakan sumber perikanan marin di negeri ini.

Katanya, tukun tiruan yang dilabuhkan itu dapat memberi manfaat kepada ekonomi nelayan di daerah ini terutama di kawasan Batu Payung.

“Projek tukun tiruan ini adalah inisiatif kerajaan melalui Jabatan Perikanan Sabah bagi mewujudkan tempat pembiakan dan pemulihan hasil laut di negeri ini.

“Saya percaya ia juga dapat membantu nelayan tradisi meningkatkan hasil tangkapan ikan, sekali gus menambah pendapatan ekonomi mereka,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika menyaksikan dan merasmikan projek melabuh Tukun Tiruan di perairan Batu Payung, di sini semalam.

Projek berkenaan turut mendapat kerjasama daripada Pertubuhan Pemancing dan Pengawasan Tukun Teluk Cowie Tawau.

Nizam berkata, bantuan dan peruntukan besar bagi tujuan projek ini, menunjukkan komitmen tinggi kerajaan bagi memastikan nasib golongan nelayan sentiasa terbela.

Menurutnya, tukun tiruan ini juga dilihat dapat dijadikan sebagai lokasi tarikan pelancong khususnya peminat aktiviti memancing.

Katanya, Pertubuhan Pemancing dan Pengawasan Tukun Teluk Cowie Tawau boleh mengadakan inisiatif untuk merancakkan sektor pelancongan di kawasan perairan Batu Payung ini.

“Perkhidmatan memancing di kawasan tukun tiruan boleh dijadikan tarikan pelancong kerana sudah pasti lokasi itu mempunyai hasil laut yang bernilai tinggi.

“Saya percaya dengan adanya tukun tiruan ini dapat meningkat hasil laut, yang bukan sahaja untuk dipasarkan di dalam negeri, malah di luar negara,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan Sabah, Azhar Kassim berkata, pihaknya sudah melaksanakan projek melabuhkan tukun tiruan ini di empat daerah iaitu Kudat, Beluran, Tungku dan Tawau.

Katanya, projek ini juga akan dilaksanakan di kawasan pantai barat pada minggu hadapan iaitu di perairan Papar dan Kuala Penyu.

“Kaedah tukun tiruan ini adalah untuk mewujudkan tempat perlindungan dan pembiakan hidupan laut, serta mengaktifkan semula eko sistem di perairan berkenaan.

“Selain itu, ia dijadikan sebagai penghadang kepada kapal nelayan komersial supaya tidak masuk di kawasan larangan,” katanya.

Azhar bersyukur kerana kerajaan negeri terus memberi jaminan untuk menyokong komuniti nelayan di negeri ini.

“Jabatan Perikanan Sabah akan berusaha mengadakan pelbagai program terutamanya bagi meningkatkan bekalan ikan di negeri ini.

“Kita akan pastikan bekalan ikan terus meningkat dan menjadikan negeri Sabah sebagai pengeluar hasil laut terbesar di Malaysia,” katanya. – Utusan Borneo

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top