PETALING JAYA: Dua belas wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) di Sabah memfailkan tindakan undang-undang di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, memohon pengisytiharan bahawa formula bahagian hasil negeri 40% seperti yang ditetapkan dalam Perjanjian Malaysia 1963, masih terpakai.
Mereka juga memohon pengisytiharan bahawa semakan semula geran tahunan Putrajaya kepada Sabah sepatutnya dijalankan pada 1974 dan semakan 2022 – diumumkan bersama oleh kerajaan persekutuan dan negeri Sabah pada April – tidak mengikut Perlembagaan.
Mereka terdiri Ketua PKR Sabah Datuk Christina Liew, Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, Ketua DAP Sabah Datuk Frankie Poon, Ketua Amanah Sabah Lahirul Latigu dan Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin.
Peguam Nelson W Angang berkata, kumpulan terbabit juga mahukan kerajaan persekutuan mendedahkan hasil bersih yang diperoleh dari Sabah setiap tahun supaya negeri mengetahui berapakah jumlah yang diterima daripada 40% itu.
Beliau berkata, mereka juga memohon pengisytiharan bahawa sebarang semakan semula Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, yang menyentuh pemberian khas dan hasil untuk Sabah, mestilah berdasarkan formula 40%.
Nelson berkata, mereka juga mahukan pengisytiharan bahawa pemberian khas bermula dari 1974 harus berdasarkan formula 40%, bukannya jumlah tetap RM26.7 juta yang diterima Sabah sejak 1970-an.
Pada April, Putrajaya mengumumkan kenaikan geran khas untuk Sabah daripada RM26.7 juta kepada RM125.6 juta bermula tahun ini.
Namun Nelson berkata, semakan ini tidak mengikut Perlembagaan kerana ia tidak berdasarkan formula bahagian hasil 40%.
“Kami mahu mahkamah memutuskan bahawa sebaik sahaja ia melibatkan Perkara 112D, anda perlu menggunakan angka 40% sebagai asas,” katanya.
Pada Mac, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz mendedahkan bahawa formula 40% tidak lagi terpakai. – FMT