40% hasil bersih Sabah tidak sama dengan tuntutan negeri lain – Mohd Shafie

shafie.jpg

DSP Mohd Shafie Apdal (gambar fail)

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Bayaran hasil bersih 40% yang terhutang kepada Sabah adalah ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan, tidak seperti tuntutan yang dibuat oleh negeri lain di Semenanjung Malaysia, kata Presiden Parti Warisan Datuk Seri Psnglims Mohd Shafie Apdal.

Shafie menegaskan bahawa tuntutan 40% itu adalah di bawah Perlembagaan Persekutuan, perjanjian unik yang tidak ada untuk negeri lain di Semenanjung Malaysia.

The Star melaporkan bekas ketua menteri Sabah itu berkata demikian dalam satu majlis parti yang diadakan di Pulau Sebatik semalam.

Kenyataannya itu susulan ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa menutup Pesta Kaamatan pada Jumaat yang menyatakan peruntukan persekutuan berjumlah RM16 bilion kepada Sabah tahun ini adalah melebihi 40% hasil bersih yang dituntut.

Anwar turut menyatakan bahawa dalam menuntut 40%, Sabah juga mesti mempertimbangkan keperluan dan perasaan negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia, seperti Pulau Pinang, yang mencadangkan Putrajaya memperuntukkan sekurang-kurangnya 20% daripada keseluruhan cukai yang dikutip di negeri itu.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow baru-baru ini meminta kajian semula sistem peruntukan Kerajaan Persekutuan untuk membiayai pelbagai program dan projek pembangunan negeri.

Shafie berhujah bahawa kedua-dua senario adalah berbeza dan perjanjian MA63, yang ditandatangani dengan British dan Ratu Elizabeth II, adalah aturan unik sebelum pembentukan Persekutuan Malaysia.

“Isu 40% ini telah menyusahkan rakyat Sabah dan menjadi punca rasa tidak puas hati sejak 1974 apabila ia kali terakhir dikaji,” kata Shafie, yang percaya bahawa tuntutan dan hak Sabah boleh diselesaikan dengan pertimbangan yang lebih mendalam.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top