40% hasil bersih Sabah mesti diberi sebagai geran khas, kata bekas presiden SLS

Roger-Chin-SLS.jpg

Datuk Roger Chin (gambar fail)

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Bekas presiden Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) Datuk Roger Chin berkata kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kerajaan persekutuan telah “memberi jauh lebih banyak daripada 40%” dalam perbelanjaan pembangunan 2024 RM16 bilion menunjukkan kegagalan untuk memahami hak asas perlembagaan seperti yang diminta oleh Sabah.

“Peruntukan yang meningkat berbanding tahun-tahun sebelumnya mungkin kelihatan menarik tetapi hakikatnya ialah peruntukan ini tidak cukup untuk menangani isu hak Sabah ke atas 40% cukai yang dikutip di negeri ini di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” kata beliau.

Malay Mail dalam laporannya memetik Chin sebagai berkata walaupun peningkatan dalam peruntukan persekutuan merupakan perkembangan positif, ia masih gagal menangani isu penting seperti autonomi kewangan dan perkongsian hasil yang saksama seperti yang dijanji.

“Rakyat Sabah berhak mendapat ketelusan, penghormatan kepada perjanjian bersejarah dan pemerkasaan kewangan yang tulen. Apa-apa yang kurang ialah satu penghinaan kepada kebijaksanaan mereka dan tempat negeri ini yang sah dalam persekutuan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan lewat malam tadi.

Chin berkata terdapat perbezaan penting antara peruntukan persekutuan dan geran khas ― yang pertama adalah untuk perbelanjaan operasi khususnya seperti program-program dan projek, dan baki yang tidak digunakan akan dibawa ke tahun yang berikutnya.

Peruntukan ini tidak kembali terus ke dalam tabung negeri untuk memberi peluang kepada kerajaan negeri menggunakan kuasa autonomi ke atas pengurusannya.

“Sebaliknya, 40% hasil bersih di dalam MA63 ialah pemberian khas yang perlu dipindahkan terus kepada kerajaan negeri Sabah. Pemberian ini mewakili bahagian hasil yang dijana dalam negeri dan bertujuan untuk digunakan mengikut budi bicara dan keperluan negeri.

“Ia adalah komponen wajib dalam autonomi kewangan dan penentuan nasib sendiri negeri Sabah, membolehkan negeri ini melabur dalam infrastruktur, perkhidmatan awam dan inisiatif pembangunan sebagaimana yang difikirkan patut. Tetapi dengan tidak menghormati hak ini sepenuhnya, kerajaan persekutuan menjejaskan kebebasan kewangan Sabah dan keupayaannya menangani cabaran tempatan dengan berkesan,” katanya.

Chin berkata kenyataan Anwar bahawa peruntukan RM16 bilion kerajaan persekutuan melebihi tuntutan 40 peratus kelayakan hasil bersih adalah mengelirukan dan mengetepikan isu yang wajib menjadi asas.

“Peruntukan itu bukan menggantikan pemberian khas; ia adalah pengaturan kewangan yang berasingan dan mempunyai implikasi yang berbeza.

“Menggabungkan kedua-duanya bukan sahaja mengelirukan orang ramai tetapi juga menjejaskan tuntutan yang sah untuk keadilan kewangan dan pematuhan kepada Perjanjian Malaysia 1963,” katanya.

Beliau juga berpandangan dakwaan Anwar bahawa “sentimen parokial dan pemikiran sempit” berkaitan hak negeri harus dihentikan.

“Kenyataan sebegini seolah memandang remeh tentang kebimbangan rakyat Sabah mengenai hak kewangan dan tadbir urus sendiri. Sentimen untuk autonomi yang lebih besar dan perkongsian hasil yang saksama bukanlah bersifat parokial; ia merupakan aspek asas perhubungan persekutuan yang digariskan dalam MA63,” kata beliau.

Chin berkata bahawa pendekatan semasa kerajaan persekutuan adalah mengekalkan model paternalistik di mana Sabah kekal bergantung kepada peruntukan persekutuan dan bukannya diberi kuasa melalui bahagian hasil yang sah.

“Ia juga memberi persepsi bahawa sumbangan Sabah kepada ekonomi negara tidak diiktiraf atau dibalas secukupnya, dan ini memupuk rasa sedih dan tidak puas hati.

“Untuk menangani isu-isu ini, kerajaan persekutuan mesti menghormati komitmennya di bawah MA63 dan memastikan Sabah menerima 40% hak hasil bersih sepenuhnya sebagai geran khas.

“Pemberian ini sepatutnya bebas daripada pengawasan persekutuan, membolehkan Sabah melaksanakan autonomi kewangannya sepenuhnya. Selain itu, kerajaan mesti melibatkan diri dalam dialog tulen dengan pemimpin Sabah dan masyarakat sivil untuk menangani cabaran dan aspirasi unik negeri ini,” katanya.

Semalam ketika merasmikan majlis penutup perayaan Ka’amatan peringkat negeri, Anwar berkata kerajaan pusat telah melakukan lebih baik dalam menyelesaikan isu MA63 negeri dalam tempoh satu setengah tahun berbanding 10 tahun sebelumnya.

Beliau berkata penggubal undang-undang tertentu tidak seharusnya terlalu cepat mengkritik kerajaan persekutuan kerana tidak menunaikan obligasi 40% apabila mereka telah diberi peruntukan yang besar iaitu sebanyak RM16 bilion yang “jauh melebihi” 40%.

Beliau juga berkata, beliau berharap isu itu dapat diselesaikan segera.

Pulangan 40% hasil kepada Sabah diperuntukkan dalam Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan, tetapi tidak dipatuhi dalam tempoh 50 tahun terakhir sejak 1974.

SLS kini menyaman kerajaan persekutuan kerana kegagalan mereka membayar 40%, dan mempersoalkan warta mengenai “bayaran interim” pada 2022.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top