BEAUFORT: Seramai 40 peserta perintis Program Agro Komuniti B40 Usahawan Peladang Kontrak Tanaman Nanas MD2 yang ditunjangi oleh syarikat AQINA Borneo dengan kolaborasi pelbagai pihak iaitu Aqina Fruits Sdn Bhd, Aqina Borneo Sdn Bhd, Koperasi Pembangunan Desa dan AGROBANK akan diberikan latihan kemahiran teknikal dan pengurusan pertanian moden nanas MD2, kemudian diberikan kawasan seluas 5 ekar untuk penanaman.
Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian Perikanan dan Industri Makanan Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G Kitingan memberitahu perkara itu kepada wartawan semasa perasmian Program Agro Komuniti B40 Usahawan Peladang Kontrak Tanaman Nanas MD2 dan Pusat Pemungutan Hasil Tani (APCC) keenam di Beaufort semalam.
Jelasnya, mereka program itu melibatkan sasaran 40 peserta dan beliau berharap ia akan diperluaskan ke kawasan-kawasan lain.
“Ini akan membantu kita untuk meningkatkan bukan sahaja pendapatan komuniti peringkat B40, tetapi membantu ekonomi dan meningkatkan keterjaminan makanan.
Jeffrey berkata mereka yang menyertai program ini tidak perlu risau tentang pemasaran hasil kerana semua hasil akan dibeli oleh syarikat pelabur iaitu Aqina Borneo Sdn Bhd.
“Satu ekar boleh mengeluarkan hasil jualan sekitar RM60,000 hingga RM70,000.
“Mereka perlu ada ilmu pengetahuan untuk menyertai program ini kalau mereka ingin untuk berjaya,” katanya.
Terlebih dahulu dalam ucapannya beliau berkata Syarikat Aqina Borneo Sdn Bhd akan membekalkan khidmat nasihat berkenaan pengurusan ladang, kewangan, kaedah, teknik-teknik tanaman nanas MD2 dari peringkat penyediaan tanah hingga tuaian hasil serta pasaran manakala pihak Agrobank akan membantu dari segi pembiayaan kewangan.
Kredit: FB Jeffrey G. Kitingan Page