KOTA KINABALU: Empat Pusat Tahanan Sementara (PTS) di Sabah yang dikendalikan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Sabah diserahkan kepada Jabatan Imigresen (Imigresen) hari ini.
Pengarah MKN Sabah, Sitti Saleha Habib Yussof, berkata tujuan utama penyerahan itu adalah Imigresen sebagai pengurus di PTS bersesuaian dengan aspek perundangan dan kewajipan Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) iaitu undang-undang terpakai dalam pengurusan tahanan serta membolehkan institusi itu beroperasi secara sah di bawah akta berkenaan.
“Selain itu pengurusan di PTS akan dapat diseragamkan memandangkan mekanisme sedia ada mengenai pengurusan depot tahanan di seluruh negara telah lama diwujudkan dan dikendalikan oleh Imigresen,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Sitti Saleha berkata MKN Sabah menyelia semua PTS di Sabah bermula dengan PTS Tawau pada 1993.
Ini diikuti PTS Sandakan pada 1994 kemudiannya pemindahan lokasi dengan dikenali PTS Sibuga pada 2010, manakala pengoperasian di PTS Kota Kinabalu pada 1999 dan PTS Papar pada 2009.
Katanya, pada 2006 MKN mengambil alih pengurusan PTS secara keseluruhan yang merangkumi penyeliaan pentadbiran, pengurusan logistik dan kawalan keselamatan melalui pengwujudan jawatan kader pengawal keselamatan dari agensi Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO).
“MKN Sabah yakin dengan penyerahan pengurusan PTS itu akan menambah baik dan memantapkan pengurusan tahanan pendatang asing tanpa izin di Sabah,” katanya. – BERNAMA