KOTA KINABALU: Seramai 39,548 orang calon SPM di negeri ini menduduki ujian bertulis di 315 pusat peperiksaan di seluruh Sabah bermula semalam hingga 6 Februari depan.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah Datuk Raisin Saidin berkata, daripada jumlah itu, seramai 35,266 merupakan calon sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan.
Selain itu, seramai 472 calon adalah dari sekolah agensi kerajaan (MRSM), 234 calon dari sekolah menengah agama negeri, 1,185 calon dari sekolah swasta berdaftar dan seramai 2,425 calon adalah calon persendirian.
Beliau juga berkata pihaknya telah mengenal pasti pusat-pusat yang berisiko untuk dilanda banjir dan bencana alam.
“Setakat hari ini saya telah dimaklumkan oleh Pejabat-pejabat Pendidikan Daerah bahawa tiada satu sekolah pun yang terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke pusat peperiksaan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mat Salleh, Ranau.
Jelasnya lagi, calon juga hendaklah mematuhi prosedur operasi standard dan peraturan yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan pengendalian peperiksaan SPM kali ini.
Tambahnya, calon dinasihatkan untuk memaklumkan kepada pihak sekolah atau JPN Sabah dengan kadar segera sekiranya tidak dapat hadir di pusat peperiksaan yang telah ditetapkan atau mana-mana pusat peperiksaan berhampiran disebabkan oleh bencana.
JPN Sabah komited untuk melakukan yang terbaik bagi memastikan peperiksaan SPM Tahun 2024 dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur.