BEAUFORT: Pergerakan Wanita UMNO bahagian Beaufort menzahirkan sokongan padu kepada Ketua Umno Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Pengarah Pilihanraya Negeri (PRN).
Ketuanya Hajah Siti Aminah Aching berkata pemilihan Bung Moktar adalah wajar memandangkan komitmen beliau untuk memulihkan semangat serta kedudukan UMNO di negeri ini yang sebelum ini hampir melalui jalan malap ekoran tindakan beberapa pemimpin UMNO meninggalkan parti dan menyertai parti lain.
Katanya, dengan kesungguhan serta sokongan dari rakan rakan kepimpinan UMNO Sabah yang masih setia dalam perjuangan imej UMNO Sabah berjaya dipulihkan dan ini terbukti selepas kejayaan cemerlang BN /UMNO memenangi PRK Parlimen Kimanis.
“Walaupun UMNO Sabah diberikan kuasa autonomi namun keputusan pucuk pimpinan harus kita hormati dan patuhi bagi memastikan BN/UMNO memenangi PRN kali ini,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan sekumpulan pemimpin UMNO Sabah yang membantah pelantikan Bung Moktar selaku pengarah pilihan raya BN negeri baru-baru ini.
Menurut Aminah tindakan kumpulan tersebut tidak wajar dilakukan ketika UMNO berusaha memperkukuhkan kedudukannya untuk memenangi PRN kali ini.
” Tindakan ini bukan sahaja menjejaskan perpaduan dalam parti tapi boleh dimanipulasi oleh parti lawan,” tambahnya.
Katanya walaupun Bung Moktar ketika ini menghadapi pertuduhan kes mahkamah namun belum tentu beliau didapati bersalah, malah tindakan kumpulan itu seolah-olah menyindir presiden parti yang juga berhadapan dengan pertuduhan di mahkamah ketika ini.
Dalam perkembangan lain Aminah sekali lagi mendesak pucuk pimpinan parti agar meletakkan calon dari UMNO bagi dua kerusi DUN Klias dan Kuala Penyu dalam PRN kali ini.
Katanya adalah wajar bagi UMNO menuntut kedua-dua kerusi ini kerana UMNO merupakan penyumbang utama kejayaan BN semasa PRU lepas.
” Lagi pun jentera BN/UMNO telah melakukan persediaan dan gerak kerja sejak awal lagi berbanding yang lain yang memudahkan proses kempen semasa PRN nanti ” katanya.
Berita & Foto: Jaafar Abd Wahid