35% Kerusi Parlimen: Bukan Untuk Tingkat Peluang Menang ‘Puak Tertentu’

oscar-ling-sibu.jpg

Oscar Ling

Kongsi Bersama

PETALING JAYA: Sebarang langkah menambah bilangan kerusi Parlimen di bawah cadangan pengembalian 35% kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak bukan dibuat untuk meningkatkan peluang “puak tertentu” memenangi pilihan raya sahaja.

Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling sebaliknya berkata, ia mesti dilakukan mengambil kira perbezaan jumlah pengundi dan struktur kaum di kawasan masing-masing.

Katanya, di bawah struktur semasa jumlah pengundi berbeza empat hingga lima kali ganda di beberapa kawasan di Sarawak.

“Ini adalah sangat tidak adil dan sekiranya kerusi baharu dibentuk, pertimbangan mesti diambil untuk menyelesaikan perbezaan besar dalam nisbah pengundi,” katanya lapor Utusan Borneo.

Ling berkata, adalah baik mempunyai lebih banyak kerusi tetapi jika penambahan kawasan hanya meningkatkan peluang puak tertentu memenangi pilihan raya, maka ia tidak memenuhi jangkaan rakyat.

“Pertambahan bilangan kawasan Parlimen mesti disertakan dengan reformasi pilihan raya demokrasi mantap memastikan melindungi hak dan kepentingan Sabah dan Sarawak dan bukan hanya menyatukan rejim kerajaan pada masa itu,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Maximus Ongkili, Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) kelima mengendors langkah mendapatkan semula 35% daripada 222 kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak.

Sarawak kini mempunyai 31 kerusi Parlimen dan antaranya, kata Ling kawasan terbesar mempunyai 142,503 pengundi, manakala kawasan terkecil iaitu Igan hanya mempunyai 28,228 pengundi.

“Perbezaan besar dalam nisbah pengundi adalah tidak adil kepada Ahli Parlimen dan ini adalah sesuatu yang perlu diselaraskan dan diselesaikan,” katanya.

Daripada 31 kerusi Parlimen, Ling berkata, hanya lima kawasan sahaja mempunyai lebih 50% pengundi Cina.

Kawasan terbesar ialah Miri dengan 142,503 pengundi diikuti Stampin (120,334), Bintulu (112,865), Bandar Kuching (109,789), Petra Jaya (109,178) dan Sibu (105,470). – FMT

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top