KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM170,000 untuk diagihkan kepada 34 Pegawai Daerah dan Penolong Pegawai Daerah (ADO) di seluruh negeri bagi melaksanakan aktiviti dakwah dan pendidikan di daerah masing-masing.
Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, bagi tujuan itu, kerajaan turut melantik Pegawai Daerah dan ADO di seluruh negeri sebagai Pengerusi Dakwah Daerah.
“Pada hari ini kita memberi penjelasan mengenai tugas dan peranan Pengerusi Dakwah Daerah seterusnya menyampaikan lantikan kepada 34 Pegawai Daerah dan ADO seluruh Sabah.
“Antara tanggungjawab Pengerusi Dakwah Daerah termasuklah menyelaras, memantau dan memberikan cadangan mengenai aktiviti dakwah dan pendidikan serta isu-isu ummah di daerah masing-masing,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan dan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Badan Dakwah Daerah Negeri Sabah di sini pada Jumaat.
Mohd Arifin berkata, antara aktiviti dan isu-isu ummah itu termasuklah tanah wakaf, perkuburan, sekolah dan urusan produk dan persijilan halal yang diselaras dengan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dn Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Katanya, MUIS pada tahun ini turut memperuntukkan sejumlah RM170,000 untuk diagihkan kepada 34 Pegawai Daerah dan ADO yang dilantik sebagai Pengerusi Dakwah Daerah bagi menampung perbelanjaan melaksanakan aktiviti dan program dakwah di daerah masing-masing.
“Selain itu, JHEAINS turut menyediakan peruntukkan khas untuk hari-hari perayaan Islam di mana kita berikan dan tambahan untuk program lain melalui Pusat Zakat Sabah dimana sejumlah RM5,000 setahun untuk program sesuai yang diadakan oleh Pengerusi Dakwah Daerah,”katanya. – Suara Sabah Today