336 Kes Bunuh Diri Hingga Mac Tahun Ini

murung.jpg
Kongsi Bersama

Pandemik Covid-19 memberikan impak besar terhadap kesihatan mental individu di dunia termasuk Malaysia dengan peningkatan jumlah kes bunuh diri, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, terdapat peningkatan kes bunuh diri dilaporkan pada 2020 iaitu 631 kes berbanding 609 pada 2019 malah sehingga Mac tahun ini, sejumlah 336 kes bunuh diri dilaporkan kepada polis.

Katanya, sesetengah individu berisiko tinggi untuk mengalami masalah kesihatan mental termasuk kemurungan terutama ketika berada dalam keadaan tekanan yang melampau dan isolasi daripada rangkaian sokongan.

“Sekiranya masalah kemurungan gagal dikenal pasti dan dirawat dengan baik, ianya boleh meningkatkan risiko tingkah laku bunuh diri.

“Masyarakat dipohon lebih cakna dan prihatin kepada ahli keluarga dan orang sekeliling dalam mengenal pasti simptom awal kemurungan dan orang ramai boleh membantu dengan berkomunikasi secara berkesan dengan individu mengalami kemurungan,” katanya dalam kenyataan.

Noor Hisham berkata, justeru penting mengenal pasti perubahan tingkah laku individu seperti sentiasa kelihatan sedih dan murung, hilang minat terhadap aktiviti biasa dilakukan, kesukaran untuk menumpukan perhatian dan melakukan tugas harian yang biasa, mengasingkan diri daripada keluarga dan rakan, mengalami gangguan tidur dan selera makan, bertindak agresif dan kasar kepada diri sendiri dan orang sekeliling, serta menyalahguna alkohol dan dadah.

Selain itu, simptom awal kemurungan pula adalah seperti menyatakan perasaan hilang harapan atau bosan untuk hidup dan kehadirannya membebankan ahli keluarga selain menyatakan keinginan untuk menamatkan riwayat hidup secara verbal atau penulisan.

“Sekiranya terdapat gejala disenaraikan di atas, individu perlu mendapatkan nasihat perubatan profesional segera bagi mengelakkan keadaan lebih buruk,” katanya.

Katanya, media boleh memainkan peranan dalam menyalurkan maklumat tepat dan mematuhi garis panduan pelaporan media yang bertanggungjawab dikeluarkan Bahagian Kawalan Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai tingkah laku bunuh diri.

Selain itu, masyarakat juga diminta menghormati perasaan ahli keluarga mangsa dengan tidak merekodkan video atau mengedarkan gambar di media sosial berhubung individu yang membunuh diri.

“Bunuh diri boleh dicegah, namun tindakan viral di media sosial boleh mengundang ‘copycat suicide’ bagi mereka yang berisiko.

“Setiap individu perlu menjalankan tanggungjawab masing-masing dalam menjaga kesihatan mental diri, keluarga, dan komuniti bagi menghadapi pandemik Covid-19 ini,” katanya.

Orang ramai boleh menghubungi talian bantuan sokongan yang diwujudkan seperti:

 

MHPSS di 03 29359935 atau 014 3223392.

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019 2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan).

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111 9598214.

Befrienders Kuala Lumpur di talian 03 76272929.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top