33 peratus majikan lakukan kesalahan di bawah Ordinan Buruh Sabah

Wan-Zulkfli-JTK-Sabah.jpg

Wan Zulkfli

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kira-kira 33 peratus majikan di Sabah melakukan kesalahan di bawah Ordinan Buruh Sabah pada 2023, menurut Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah Wan Zulkfli Wan Setapa.

Daily Express memetik Wan Zulkifli sebagai berkata berdasarkan data jabatan setakat 31 Dis 2023, sebanyak 2,734 majikan melakukan kesalahan bukan kewangan, manakala 602 majikan melakukan kesalahan kewangan.

Kesalahan bukan kewangan termasuk yang berkaitan dengan kontrak perkhidmatan, mengeluarkan penyata gaji dan cuti am.

Kesalahan kewangan melibatkan tidak membayar gaji minimum atau mempunyai sehingga tiga bulan gaji tidak dibayar.

“Tunggakan berjumlah RM38 juta telah dikutip oleh jabatan dan dibayar semula kepada 10,586 pekerja,” kata Wan Zulkifli semasa operasi bersepadu di Taipan, Inanam, Selasa.

Tambahnya, aktiviti yang dijalankan jabatan itu memberi manfaat kepada lebih 135,000 pekerja di seluruh negeri.

“Perkara ini sangat serius. Jika sabit kesalahan, majikan boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 bagi setiap kesalahan.

“Semua aktiviti itu menjadi salah satu agenda utama JTK bagi memastikan hak-hak utama rakyat Sabah terjamin,” katanya.

Sebanyak 10 kumpulan penguatkuasa telah dibentuk untuk memeriksa premis perniagaan sepanjang operasi dijalankan.

“Berdasarkan siasatan yang kami jalankan hari ini, kami mendapati majikan melakukan kesalahan membabitkan gaji.

“Sesetengah majikan tidak membayar gaji minimum kepada pekerja, manakala yang lain tidak memberikan kontrak perkhidmatan atau cuti tahunan kepada pekerja,” katanya.

Wan Zulkifli menggesa semua majikan di negeri ini menghubungi JTK jika tidak pasti mengenai undang-undang.

“Ini penting untuk mengelakkan pelanggaran yang boleh membawa kepada tindakan penguatkuasaan seperti pendakwaan dan denda,” katanya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top