33 pegawai teknikal lantikan COS terima watikah daripada Ketua Menteri

pegawai-COS.jpg

Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dan jemputan lain bergambar bersama para pegawai teknikal lantikan Contract of Service (COS) pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan COS di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu, Kota Kinabalu pada Selasa.

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Seramai 33 orang pegawai teknikal dari kalangan anak muda tempatan Sabah menerima watikah pelantikan secara Contract of Service (COS) di Pejabat Pembangunan Negeri Sabah (Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyerahkan watikah pelantikan COS kepada seramai 10 orang Jurutera Awam J41, 6 orang Penolong Jurutera Elektrik JA29 dan 17 orang Penolong Juruukur Bahan JA29 pada majlis ringkas di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu, pada Selasa.

Mereka dilantik secara berfasa akan ditempatkan dan berkhidmat di pejabat-pejabat daerah di negeri Sabah bagi pengukuhan unit teknikal dan memperkasa pejabat-pejabat daerah.

Seramai 53 orang pegawai teknikal menerima pelantikan COS pada Fasa Satu dan Kedua pelantikan itu tahun lalu, telah ditempatkan ke Pejabat Daerah seluruh Sabah yang diselaraskan bersama di antara Kementerian Pembangunan Luar Bandar Negeri Sabah dan Pejabat Pembangunan Negeri Sabah (ICU JPM Sabah).

Dengan penempatan pegawai teknikal melalui pelantikan secara COS, akan dapat memastikan projek-projek infrastruktur rakyat dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan berdasarkan spesifikasi kerja yang ditetapkan.

Kerajaan menyasarkan melantik seramai 114 pegawai teknikal dan setakat ini 86 jawatan telah diisi. Seorang jurutera dan 2 penolong jurutera secara COS akan ditempatkan di setiap Pejabat Daerah bagi mempercepatkan pelaksanaan projek-projek rakyat.

Program ini dilaksanakan di seluruh negara berpandukan persetujuan Kerajaan Negeri dengan peruntukan emolumen yang akan dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan.

Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, Timbalan Ketua Menteri II/ Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam, Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Panglima Haji Masidi Manjun, Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri, Datuk Jahid Jahim, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Dr Haji Mohd Arifin Datuk Haji Mohd Arif dan Menteri Belia dan Sukan Negeri, Datuk Ellron Alfred Angin.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top