KOTA KINABALU: Kementerian Kesihatan komited untuk menaik taraf klinik-klinik kesihatan yang daif dan tidak begitu kondusif di negeri ini.
Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, kementerian itu telah mengenal pasti 326 klinik kesihatan yang perlu dinaik taraf di seluruh Sabah termasuk bangunan klinik daif yang tidak selamat diduduki.
Beliau berkata, berdasarkan pemantauan yang dilakukan, terdapat 287 klinik daif yang menggunakan bangunan kayu yang tidak selamat diduduki manakala, 39 klinik lagi tidak begitu daif namun, perlu dinaik taraf demi keselesaan pengguna.
“Saya telah memohon peruntukan daripada Kementerian Kewangan dan diharap ia akan diluluskan. Selepas menerina peruntukan, projek menaik taraf ini akan dilaksanakan dengan kadar segera,” katanya selepas Majlis Pelancaran Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat-Sabah Maju Jaya (ANMS-SMJ), di sini semalam.
Di samping itu, kerajaan juga sedang melihat keperluan menaik taraf dua buah hospital di Sabah menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan RMK13.
Langkah ini sebagai komitmen kementerian bagi meningkatkan lagi kemudahan di fasiliti kesihatan serta meningkatkan akses kesihatan di Sabah.
Beliau berkata, kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri akan meneruskan usaha menaik taraf Hospital Duchess of Kent dan Hospital Tawau dalam tempoh lapan hingga 10 tahun ini.
“Kita mahu memastikan perkhidmatan kepakaran dikedua-dua hospital itu setanding dengan perkhidmatan yang disediakan di Hospital Queen Elizabeth.
“Pada masa sama, kementerian juga komited menambah tenaga pakar di Hospital Queen Elizabeth II supaya dapat mengurangkan tekanan kepada HQE I,” katanya.
Khairy berkata, kementerian juga berusaha untuk menaik taraf Hospital Keningau dan Lahad Datu agar mempunyai pakar major manakala, Hospital Kota Marudu, Tuaran dan Beaufort akan dinaik taraf sebagai hospital pakar minor.
Menurutnya, penaiktarafan itu akan membolehkan pesakit mendapatkan khidmat pakar di daerah berhampiran tanpa perlu datang ke Kota Kinabalu mahupun Kuala Lumpur.
“Kita mengambil langkah membawa kepakaran itu ke kawasan-kawasan yang tidak mempunyai tenaga pakar bagi memudahkan orang ramai mendapatkan rawatan daripada pakar,” ujarnya.