KOTA KINABALU: Sebanyak 32 laluan telah dikenal pasti sebagai kawasan ‘hotspot’ sering berlaku kemalangan di seluruh Sabah.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, sempena dengan perayaan Tahun Baharu Cina kali ini seramai 298 pegawai dan anggota polis trafik akan melakukan penugasan di seluruh Sabah.
“Penugasan ini dilakukan di tempat strategik dan ditempat yang dikenal pasti iaitu sebanyak 32 kawasan hotspot sering berlakunya kemalangan.
“Penugasan ini juga bermula dari 8 hingga 14 Februari ini. Jadi kalau pengguna jalan raya melihat mana-mana tempat ada banyak trafik, mereka sedang melaksanakan penugasan itu bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini pada Jumaat.
Menurut Sinar Harian, Jauteh dalam pada itu turut menasihatkan pengguna sentiasa berhati-hati ketika di jalan raya terutama di kawasan yang sering dilaporkan mengalami kerosakan jalan raya.
“Ini yang kita minta kepada seluruh pengguna jalan raya di kawasan yang sering kita dengar berlaku kerosakan jalan ini supaya jangan memandu melebihi kelajuan yang ditetapkan.
“Supaya kalau ada objek di depan seperti lubang dan sebagainya, sempat untuk pengguna jalan raya mengelak,” katanya.