319 Pekerja Binaan Tiada Perakuan, Tapak Binaan Diarah Tutup

Cidb-arah-tutup.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Sebuah tapak pembinaan diarah berhenti kerja serta-merta susulan sebahagian pekerjanya tidak mempunyai akreditasi pekerja mahir daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Pengarah CIDB Sabah, Rosmen Ag Hassan berkata, berdasarkan pemeriksaan yang dilakukan terhadap 325 orang pekerja termasuk 190 pekerja asing, hanya 46 orang pekerja yang memiliki perakuan pekerja mahir atau kad hijau CIDB.

Beliau berkata, seramai 319 orang pekerja lagi masih belum dipastikan sama ada memiliki akreditasi yang tamat tempoh atau tidak mencukupi syarat kelayakan.

Untuk itu, CIDB mengeluarkan notis arahan hadir kepada satu kontraktor utama bagi meminta mereka mengemukakan dokumen dan maklumat pekerja yang diperlukan dalam tempoh tujuh hari.

“Bagi penguatkuasaan akreditasi atau perakuan pekerja mahir ini, pekerja binaan yang tidak mempunyai perakuan boleh dikenakan denda maksimum RM5,000 bagi setiap pekerja mengikut Seksyen 33A(1), Akta 520 Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (LPIPM),” katanya semasa Operasi Bersepadu CIDB pada Khamis.

Operasi bersepadu itu turut disertai oleh anggota penguat kuasa Pejabat Kesihatan Kawasan Penampang dan Majlis Daerah Penampang.

Dalam operasi itu, sebanyak empat notis dikeluarkan oleh CIDB kepada kontraktor iaitu notis meminta maklumat, notis arahan hadir, notis kesalahan akreditasi dan notis pemberhentian kerja.

Sementara itu, Majlis Daerah Penampang turut memberi amaran lisan mengenai pengurusan sampah di tapak dan kelengkapan keselamatan pekerja manakala, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) turut memberi amaran lisan (Akta 154) Akta Pemusnah Serangga Pembawa Penyakit 1975.

Rosmen berkata, pihaknya turut memeriksa bahan binaan yang dipercayai tidak mematuhi perakuan pematuhan standard (PPS) mengikut Seksyen 33D (1). Pemeriksaan yang lebih terperinci akan dilakukan bagi melakukan siasatan lanjut mengenai bahan-bahan binaan yang digunakan.

Sekiranya kontraktor tersebut didapati menggunakan bahan yang tidak diperakukan maka, kompaun sehingga RM500,000 boleh dikenakan.

Jelas beliau, operasi penguatkuasaan hari ini memberi fokus kepada pematuhan kontraktor mengikut Akta 520 LPIPM di bawah lima skop iaitu pendaftaran kontraktor (Seksyen 25), akreditasi (Seksyen 33A(1), pengenaan levi (Seksyen 34), personel binaan (Seksyen 33) dan bahan binaan (Seksyen 33D(1).

Menurutnya, sejak Mac 2020 hingga hari ini, sebanyak 4,665 pemeriksaan tapak projek telah dilakukan oleh CIDB di seluruh Sabah dan untuk tahun ini sahaja, 78 pemeriksaan tapak telah dilakukan.

Secara keseluruhan, semua tapak pembinaan dan kontraktor mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di tapak bina. Setakat ini, sebanyak 12,824 kontraktor berdaftar dengan CIDB di Sabah. – Borneo Today


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top