TAMBUNAN: Sebanyak 31 buah kampung di daerah ini kini diiktiraf kewujudannya selepas sekian lama menunggu pengiktirafan berkenaan.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata, berikutan pengiktirafan berkenaan, seramai 31 badan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan 31 Ketua Kampung yang baharu akan dilantik.
Pada masa yang sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambunan itu turut mengumumkan empat Pemaju Mukim Baharu akan dilantik mewakili setiap mukim yang ada di daerah ini.
Mengenai isu yang bencana alam yang berlaku kelmarin, Jeffrey Menteri Pertanian dan Perikanan berkata, kerajaan negeri mempunyai peranan penting mengubah dan mencari jalan agar ada perubahan pada dasar kerajaan.
“Hampir 13 hingga 14 peratus kerosakan yang berlaku akibat daripada bencana alam disebabkan oleh perubahan alam semula jadi termasuklah juga akibat daripada kesan pembalakan dan sebagainya.
“Bencana alam kita tidak boleh diramal dan tidak diketahui bila ianya berlaku. Begitu juga sungai tidak boleh diluruskan kalau memang bengkok kerana itulah aliran semula jadinya,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan dua ekor lembu untuk Hari Raya Aidiladha kepada Masjid Daerah di sini, pada Isnin.
Jeffrey yang juga Ahli Parlimen Keningau berkata, sudah tiba masanya kerajaan perlu melakukan perubahan.
Katanya, antara perubahan berkenaan ialah pemuliharaan alam semula jadi dengan mengurangkan pembalakan. Bagaimanapun, ia tidak bermaksud Sabah akan kehilangan sumber kewangan kerana pengurangan pembalakan.
Beliau berkata, dengan mengubah dasar untuk mengurangkan pembalakan dan berubah kepada dasar pemuliharaan hutan, kerajaan akan mendapat hasil yang lebih tinggi berbanding dengan pembalakan.
“Ini bukan bermakna pembalakan tidak boleh dilakukan sama sekali kerana ada kawasan-kawasan yang boleh dibalak seperti kawasan hutan yang telah ditanam semula dan tujuannya mempastikan industri kayu-kayan tetap berjalan,” katanya
Beliau berharap melalui dasar pemuliharaan alam semula jadi, bencana banjir dapat diatasi.