30,000 Bakul Makanan Telah Diagih Di Parlimen Kinabatangan Sejak PKP 1.0 Hingga Kini

bung-bakul-makanan.jpg
Kongsi Bersama

Oleh: Jaafar Abdul Wahid

SANDAKAN: Tidak kurang dari 30,000 bakul makanan telah diagih-agihkan kepada golongan sasar  di kawasan Parlimen Kinabatangan yang merangkumi Dewan Undangan Negeri Lamag,Sukau dan Kuamut sejak PKP 1.0 hingga PKP 3.0.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata sumbangan ini bertujuan meringankan bebanan rakyat yang terkesan dengan pandemik COVID-19 dan pelaksanaan PKP.

“Bantuan  ini tidak terhenti di sini  sahaja, di mana sahaja rakyat yang menghadapi kesusahan kita akan salurkan bantuan sama ada di DUN Lamag, Sukau dan Kuamut yang diselaraskan oleh Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPMM) di kawasan masing-masing,” katanya ketika ditemui selepas menerima sumbangan 1,000 bakul makanan  dari Sawit Kinabalu untuk kawasan DUN Lamag dan Sukau di pejabat perhubungan Parlimen Kinabatangan dekat sini kelmarin.

Sumbangan tersebut diserahkan oleh Pengarah Urusan Kumpulan  Sawit Kinabalu Bacho Jansie yang turut disaksikan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar yang juga ADUN Sukau Datuk Jafry Arifin dan Pegawai Daerah Kinabatangan Abdul Manap Abdul Rahim.

Sebelum ini Sawit Kinabalu turut memberikan bantuan yang sama  sebanyak 500 bakul makanan di kawasan DUN Kuamut.

Dalam perkembangan lain ketika diajukan soalan berhubung dengan perlanjutan PKP di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) Bung yang juga Menteri Kerja Raya berkata, kerajaan negeri akan menyokong apa jua keputusan kerajaan pusat untuk meneruskan PKP demi kebaikan negara dan keselamatan rakyat.

Katanya PKP perlu diteruskan bagi satu tempoh masa lagi sehingga rantaian COVID-19 benar-benar terputus.

Menurut beliau  sekiranya wabak ini masih tersebar dalam kalangan masyarakat, maka PKP tidak boleh dihentikan kerana ada kemungkinan terbentuknya gelombang Covid-19 seterusnya dan ia mungkin lebih besar.

“Pelaksanaan PKP adalah cara terbaik untuk memastikan rantaian wabak ini dapat diputuskan justeru kita menyokong apa juga keputusan kerajaan pusat demi kebaikan negara dan keselamatan rakyat,” katanya.

Bung berkata walau pun Sabah masih menguatkuasakan PKP namun kerajaan negeri berkemungkinan  akan mempertimbangkan sedikit kelonggaran ekoran  bilangannya positif COVID-19 masih terkawal berbanding di Semenanjung justeru beberapa sub sektor akan diberikan peluang untuk beroperasi semula dengan mengambil kira pematuhan Prosedur Operasi Standrad (SOP).

“ Dengan sedikit kelonggaran tersebut kita berharap orang ramai akan terus mematuhi SOP yang ditetapkan untuk sama-sama membendung penularan COVID-19.

“Perkara paling penting ketika ini ialah kesihatan dan keselamatan. Ekonomi kita boleh bina semula tetapi kesihatan adalah keutamaan,” katanya.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top