300 Terima Dana Dan Komputer Riba Daripada Yayasan Limus Jury

yayasan-limus-jury.jpg
Kongsi Bersama

KUALA PENYU: Masa depan anak-anak di daerah Kuala Penyu terutama yang mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT) awam ataupun swasta amat baik kerana Yayasan Limus Jury (YLJ) sentiasa menghulurkan bantuan bagi memastikan mereka dapat mencapai cita-cita masing-masing.

Pengerusinya, Datuk Limus Jury berkata, kesukaran yang dilalui masyarakat terutama ibu bapa yang tidak mempunyai pendapatan tetap dan kurang berkemampuan dilihat menjadi dorongan untuk anak-anak meneruskan perjuangan menuntut pendidikan ke menara gading, dan bantuan daripada yayasan memberi suntikan semangat untuk mengharungi cabaran itu.

Beliau amat memahami situasi yang dilalui oleh para ibu bapa, justeru Limus tekad membantu mereka yang memerlukan bagi memastikan pendidikan bukan sahaja dapat merubah taraf kehidupan golongan itu tetapi turut meningkatkannya ke tahap yang lebih baik.

Limus berpendapat, membantu anak-anak Kuala Penyu dalam pendidikan adalah jalan yang terbaik yang dilihat bukan sahaja memberi impak kepada kehidupan tetapi turut menyumbang kepada daerah Kuala Penyu serta negeri Sabah amnya.

“Saya berharap bantuan daripada Yayasan Limus Jury dapat meringankan sedikit beban para ibu bapa menjelang persiapan untuk melanjutkan pelajaran ke IPT. Semoga bantuan ini dapat memberi suntikan semangat kepada anak-anak nanti.

“Saya juga doakan para penerima mendapat keputusan yang cemerlang dalam bidang masing-masing. Selamat Maju Jaya, buatlah yang terbaik untuk keluarga, Kuala Penyu dan Sabah, ” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan yayasan.

Majlis penyampaian bantuan dana pendidikan dan komputer riba itu telah diadakan di Dewan Shahbandar Makang, Kuala Penyu, baru-baru ini.

Seramai 133 penerima mendapat dana pendidikan manakala 143 orang lagi menerima komputer riba daripada yayasan, yang disampaikan oleh Limus yang juga Pembantu Menteri Kerja Raya, mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketat yang ditetapkan.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Penyu menegaskan akan terus memberikan khidmat yang terbaik kepada rakyat di daerah itu bagi membawa perubahan yang memberi manfaat kepada rakyat.

Di samping itu, beliau turut menasihati rakyat terutama di daerah itu dan sekitarnya supaya sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan bagi memastikan usaha ke arah pemulihan berjalan dengan lancar. – Utusan Borneo

Foto: FB Limus Jury


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top