300 individu rugi lebih RM5 juta diperdaya pelaburan emas

pelaburan-emas-tawau.jpg

Liana (dua kanan) bersama Ghani (tengah) ketika mengadakan sidang media,semalam.

Kongsi Bersama

TAWAU: Seorang ahli perniagaan bersama 300 lagi individu mengalami kerugian lebih RM5 juta selepas mendakwa diperdaya dalam satu pelaburan emas oleh sebuah syarikat yang beroperasi di daerah ini.

Semua mangsa terdiri daripada pelbagai latar belakang itu mendakwa dijanjikan pulangan lumayan sebanyak RM25 per gram atau 15 peratus dalam tempoh sepuluh hari berdasarkan jumlah pelaburan mereka.

Bagaimanapun, mangsa penipuan terbabit terpaksa ‘berputih mata’ apabila pelaburan yang dibuat sejak Mei lalu itu tidak seindah apa yang dijanjikan oleh syarikat berkenaan.

Salah seorang mangsa yang juga ahli perniagaan Liana Friska Ramle, 35, berkata dia bersama beberapa rakan niaga yang lain membuat pelaburan bersama syarikat berkenaan dianggarkan bernilai lebih RM3 juta.

Katanya, pada awal pelaburan itu, mereka sempat menerima bayaran keuntungan selama tiga bulan berturut-turut.

“Namun, kami mula menyedari diperdaya apabila tidak lagi mendapat bayaran keuntungan pada bulan Ogos, malah modal pelaburan asal juga gagal dipulangkan sebagaimana yang dipersetujui sebelum ini.

“Kami cuma menuntut hak kami selain berharap masyarakat di luar sana supaya tidak terjebak dengan pelaburan yang meragukan,” katanya ketika ditemui pada sidang media di sini, semalam.

Liana turut menyatakan bahawa pihaknya tidak terlibat secara langsung dengan pelaburan yang dibuat oleh syarikat berkenaan, malah turut menanggung kerugian.

Katanya, dia juga adalah pelabur seperti mangsa yang lain dan tiada sebarang kepentingan dalam syarikat pelaburan berkenaan.

“Sejak penipuan syarikat itu saya telah menerima ugutan selain difitnah di media sosial sehingga menyebabkan mental dan emosi saya terganggu.

“Saya berharap tiada lagi mangsa lain cuba mengaitkan nama syarikat saya dengan pelaburan ini dan sekiranya ada tindakan undang-undang akan diambil,” katanya yang telah membuat laporan polis pada 14 Disember lalu.

Dalam pada itu, Peguam Abdul Ghani Zelika yang mewakili mangsa berkata, atas arahan anak guam, pihaknya sudah menyerahkan notis tuntutan terhadap pemilik syarikat pelaburan berkenaan.

Katanya, pemilik syarikat berkenaan diberikan tempoh selama 14 hari bermula 11 Disember lepas untuk mengaku atau menafikan tuntutan yang dibuat oleh anak guam kami.

“Namun, sehingga hari ini, kami belum menerima sebarang maklum balas daripada pemilik syarikat berkenaan dan kami juga akan memfailkan saman secepat mungkin,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dibuat mangsa dan kertas siasatan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Siasatan berhubung kes ini masih dijalankan dan tindakan selanjutnya akan diteruskan sebaik arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya diperolehi,” katanya. – Utusan Borneo

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top