Oleh: Jaafar Abdul Wahid
BUKIT GARAM: Keadaan hujan yang berterusan menyebabkan kebanyakan daerah di Sabah mengalami masalah banjir. Turut tidak terkecuali Daerah Kinabatangan khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri Lamag.
Walaupun keadaanya masih terkawal namun ianya sedikit sebanyak menjejaskan kehidupan penduduk di kawasan ini yang bukan sahaja tidak dapat keluar mencari rezeki ekoran faktor hujan dan banjir tetapi juga dengan berkuatkuasanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang membataskan pergerakan mereka.
Menyedari kesukaran ini Timbalan Ketua Menteri yang juga ADUN Lamag Datuk Seri Bung Moktar Radin mengambil langkah proaktif dengan menyalurkan bantuan segera bakul makananan kepada penduduk yang terjejas.
Sebanyak 300 bungkusan diagih-agihkan di beberapa buah kampung di kawasan itu khususnya mereka yang terjejas akibat banjir.
Pengagihan sumbangan tersebut diselaraskan oleh Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) N.58 Lamag yang diketuai oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat DUN Lamag Abu Bakar Gapar.
Menurut Abu Bakar UPPM menerima arahan daripada Bung yang juga Menteri Kerja Raya untuk segera menghulurkan bantuan tersebut bertujuan meringankan bebanan yang ditanggung oleh penduduk yang terlibat.
“Oleh kerana kita mematuhi arahan PKP, Bung sendiri tidak dapat turun padang melawat kawasan ketika ini, bagaimanapun dengan kerjasama dari semua Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kampung (JPKK) untuk menyelaras serta mengagih-agihkan bantuan ini telah menyegarakan bantuan sampai kepada penerima,” katanya ketika dihubungi di sini kelmarin.
Menurut Abu Bakar beliau juga menerima aduan berhubung parit-parit yang tersumbat di beberapa buah kampung di kawasan tersebut dan tindakan susulan akan dilakukan bagi mengatasi masalah tersebut yang sekurang-kurangnya boleh mengatasi risiko banjir yang lebih lama.
Sebelum itu Abu Bakar melakukan kunjungan hormat kepada Ketua Polis Daerah Kinabatangan Supt Dzulbaharin Ismail di ibu pejabat Polis Daerah Kinabatangan bagi membincang isu-isu semasa terutamanya persediaan dari aspek keselamatan untuk menghadapi kemungkinan banjir besar di daerah ini ekoran keadaan cuaca tidak menantu sejak akhir-akhir ini.