30 peratus kawasan tanah di Sabah dilindungi sepenuhnya pada 2025

Datuk-abidin-madingkir.jpg

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Abidin Madingkir ketika berucap pada Forum Pihak Berkepentingan Landskap Hutan Hujan DaMaI (Danum, Maliau dan Imbak), semalam. (Kredit foto: FB Abidin Madingkir)

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menyasarkan untuk mencapai 30 peratus kawasan tanah di negeri ini yang diwartakan sebagai kawasan dilindungi sepenuhnya (TPA) menjelang 2025.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Abidin Madingkir, berkata setakat ini, 26 peratus atau 1.9 juta hektar kawasan tanah negeri ini sudah diwartakan sebagai TPA.

Katanya, baki kira-kira 300,000 hektar atau empat peratus lagi akan diwartakan dalam tempoh sekarang hingga 2025 bagi menjadikannya 30 peratus atau 2.2 juta hektar seperti disasarkan.

“Setakat ini, sekurang-kurangnya 1.9 juta hektar atau 26 peratus TPA sudah diwartakan, manakala bakinya kira-kira 300,000 hektar akan dikenal pasti dan diwartakan dalam masa tiga tahun ini.

“Pencapaian ini meletakkan Sabah sebagai negeri peneraju dalam bidang konservasi hutan,” katanya pada Forum Pihak Berkepentingan Landskap Hutan Hujan DaMaI (Danum, Maliau dan Imbak), di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar dan Pengurus Kumpulan Bahagian Konservasi dan Pengurusan Alam Sekitar Kumpulan Yayasan Sabah, Dr Waidi Sinun.

Abidin berkata, komitmen kerajaan negeri untuk meningkatkan keluasan TPA kepada 30 peratus sejajar dengan hasrat untuk mengekalkan 64 peratus daripada keluasan negeri ini sebagai litupan hutan.

“Ini meliputi kawasan seluas 3.84 juta hektar atau 52 peratus keluasan negeri sebagai kawasan yang diwartakan hutan simpan dan perlindungan lain, sejajar dengan Dasar Hutan Sabah 2018.

“Komitmen ini adalah selaras dengan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menggariskan usaha kerajaan negeri untuk memperluaskan lagi TPA kepada 30 peratus daripada kawasan daratan negeri Sabah menjelang 2025,” katanya.

Sementara itu, Abidin berkata, Forum Landskap Hutan Hujan DaMaI (DRL) bertujuan mewujudkan kesedaran awam terutama rakyat negeri ini mengenai DRL dan kepentingan membantu melindungi serta memulihara kawasan hutan berkenaan.

Katanya, forum anjuran bersama Kumpulan Yayasan Sabah, Sabah Environmental Trust, Jabatan Perhutanan Sabah dan Jabatan Hidupan Liar Sabah itu adalah antara inisiatif yang dimeterai di bawah Memorandum Persefahaman (MoU) bagi kerjasama menjaga hutan DaMaI ditandatangani pada 23 Ogos 2022.

“Landskap hutan hujan DaMaI meliputi kawasan seluas sejuta hektar yang terdiri daripada Rizab Hutan Kelas I (Perlindungan), Hutan Kelas II (Produksi) termasuk kawasan konservasi utama iaitu Danum, Maliau dan Imbak serta beberapa kawasan perladangan kelapa sawit seperti Benta Wawasan dan kawasan restorasi serta rehabilitasi hutan,” katanya. – BHarian

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top