30 Ekor Lembu Sempena Program Ibadah Korban Perdana Putatan

shahelmey.jpg
Kongsi Bersama

PUTATAN: Sebanyak 30 ekor lembu dikorbankan sempena Program Ibadah Korban Perdana Parlimen P.173 Putatan tahun 1444H/2023M.

Timbalan Ketua Menteri III merangkap Ahli Parlimen P.173 Putatan, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata program sempena sambutan Hari Raya Aidiladha 2023 tersebut julung kali diadakan serentak di daerah ini.

“Tujuan program adalah bagi menyemarakkan semangat gotong-royong dan kerjasama dikalangan masyarakat di Parlimen Putatan.

“Walau dalam kesibukan mereka menjalani kehidupan seharian dan karier, mereka juga tidak lupa melaksanakan tuntutan agama.

“Diharap program ini mencapai objektifnya sekaligus berjaya menerapkan semangat bekerjasama di kalangan masyarakat Putatan,” katanya ketika ditemui media selepas Program Ibadah Korban Perdana Parlimen P173 Putatan tahun 1444H/2023M, pada Sabtu.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Masjid Dhuyufurrahman Kampung Lok Kawi Baru, Mohd Din Kasiman menzahirkan rasa terima kasih kepada Pejabat Parlimen P.173 Putatan atas penganjuran program.

“Melalui program ini, fakir miskin dan orang kurang berkemampuan dapat menerima daging korban dan diharap program ini akan diteruskan lagi pada masa hadapan,” katanya.

Turut menerima sumbangan daging korban ialah Ibu Pejabat Polis (IPD) Penampang diwakili Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, ASP Samsualan Samsudin yang menzahirkan kesyukuran terlibat menjayakan program tersebut.

“Tiga pegawai dan 15 anggota IPD Penampang terlibat dengan dibantu oleh dua pegawai bersama tiga anggota dari Jabatan Bomba bekerjasama bagi melancarkan proses penyembelihan serta pengagihan daging korban.

“Program ini berjaya memupuk semangat kekitaan bertepatan sekali dengan Community Policing Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada,” ujarnya.

Hadir sama, Pegawai Daerah Putatan, Mokhtar Hussin dan Ketua Polis Daerah Penampang, DSP Mohd Haris Ibrahim. – JAPEN Sabah

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top