LABUAN: Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) menubuhkan tiga pasukan petugas sebagai usaha merancakkan ekonomi Labuan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.
Beliau berkata pasukan petugas berkenaan menumpukan terhadap pembangunan pelancongan, pembinaan jambatan Labuan-Menumbok dan meningkatkan aktiviti pemindahan kargo kapal ke kapal.
“Diterajui oleh Ketua Pengarah JWP dan timbalannya serta melibatkan penyertaan pihak berkepentingan, pasukan petugas ini telah mengadakan mesyuarat pertamanya.
“Kami komited untuk melaksanakan strategi tindakan dengan segera, manakala inisiatif utama seperti pembinaan jambatan Labuan-Menumbok akan dikemukakan untuk perhatian Perdana Menteri,” katanya pada sidang media selepas menghadiri taklimat mengenai Labuan Liberty Port oleh pengendali pelabuhan itu, Megah Port Management Sdn Bhd di sini, semalam.
Dr Zaliha melahirkan keyakinan terhadap masa depan Labuan yang menerima lawatan kerap daripada Menteri Kabinet selain dua timbalan perdana menteri, menunjukkan petanda baik untuk prospek pulau bebas cukai berkenaan.
Menekankan terhadap kepentingan aktiviti pemindahan kargo kapal ke kapal, Dr Zaliha berkata pasukan petugas itu juga akan memperincikan butiran teknikal dan penambahbaikan dasar, dengan perancangan untuk melibatkan Kementerian Pengangkutan.
“Dalam perbincangan bersama Menteri Pengangkutan Anthony Loke, telah ditekankan tentang usaha untuk meningkatkan ketersambungan menerusi peningkatan penerbangan dari dan ke Labuan,” katanya menambah Kementerian Kerja Raya akan mengetuai kajian teknikal berkaitan cadangan pembinaan jambatan Labuan-Menumbok.
Beliau turut menyatakan komitmen bagi memacu sektor pelancongan Labuan termasuk penambahbaikan terhadap acara pelancongan terkenal iaitu Labuan International Sea Challenge (LISC).
Dr Zaliha turut menyambut baik pembangunan Ladang Tenaga Solar 5MWac di Tanjung Kubong oleh Sabah Energy Corporation (SEC), dengan menekankan peranannya dalam menambah kapasiti kuasa di pulau berkenaan. – BERNAMA