SANDAKAN: Rakyat Sabah turut menyertai Himpunan Aman bersolidariti bersama rakyat Palestin di tiga zon utama Sabah serentak selepas solat Jumaat petang semalam.
Di Kota kinabalu, Himpunan Solidariti Sabah diadakan di perkarangan Masjid Usia Bandar Kota Kinabalu.
Adun dilantik Dr Aliakbar Gulasan berkata, rakyat Sabah mesti melahirkan rasa kebersamaan dengan perjuangan rakyat Palestin yang berjuang untuk membebaskan tanah air mereka daripada rejim Zionis yang zalim.
“Lebih-lebih lagi, rakyat Palestin adalah seagama dan seakidah dengan kita, lahirkan rasa kebersamaan itu dalam doa-doa memohon keselamatan dan hak mereka dikembalikan semula,” ujarnya ketika berucap pada himpunan tersebut.
Himpunan juga diadakan di perkarangan Masjid Daerah Sandakan, turut dibanjiri penduduk tempatan selepas selesai solat Jumaat.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Sahar Abdul Majid berkata, PAS berjaya menyatukan 15 pertubuhan bukan kerajaan pada perhimpunan Palestin kali ini, antaranya ABIM, ISMA dan pertubuhan pondok.
Turut hadir Yang Dipertua (YDP) ISMA Sandakan Ustaz Muhammad Nur dan YDP ABIM Sandakan, Ustaz Fikri Muharram.
Manakala Himpunan Aman di Tawau diadakan di hadapan Masjid Bandar Tawau turut mendapat sambutan masyarakat Islam setempat.
Ketua Penerangan Sabah, Ahmad Dullah berkata, perhimpunan itu sebagai tanda sokongan terhadap perjuangan umat Islam di Palestin dan Hamas untuk mengembalikan kedaulatan bumi Palestin.
“Adalah menjadi tanggungjawab seluruh umat Islam di seluruh dunia untuk memberi sokongan kepada perjuangan rakyat Palestin sama ada dalam bentuk moral, doa dan kewangan.
“Ini kerana di sana terletak Masjid al-Aqsa yg merupakan kiblat pertama umat Islam dan merupakan tempat suci umat islam yang ketiga selepas Mekah dan Madinah,” ujarnya.
Himpunan tersebut dianjur bersama PAS Tawau dan Kalabakan. Turut bersama pimpinan Bersatu dan beberapa NGO Islam di daerah itu. – HARAKAHDAILY